KUALA SELANGOR 9 Mei - Para pengguna yang melalui Jalan Haji Idris, Pekan Lama Kuala Selangor di sini bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kehilangan beberapa penutup lubang longkang di laluan tersebut.
Setiap kali melalui jalan terbabit mereka terpaksa memandu dengan berhati-hati bagi mengelak daripada terjatuh ke dalam longkang tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa penutup longkang lesap, dipercayai angkara pengutip barangan besi terpakai, hingga mendedahkan pengguna kepada risiko kemalangan.
Khuatir terdapat kenderaan yang terjunam ke dalam longkang berkenaan, orang ramai terpaksa meletakkan dahan-dahan pokok sebagai tanda amaran kepada para pengguna agar berhati-hati.
Seorang kontraktor pembinaan, Azlan Adnan, 45, berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan penutup longkang yang diperbuat daripada besi itu dengan bahan konkrit supaya ia tidak dicuri lagi.
"Saya khuatir pengguna yang arif dengan laluan tersebut tidak menyedari lubang longkang di situ sudah tidak mempunyai penutup. Ini amat bahaya terutama ketika waktu malam.
"Biasanya penunggang motosikal yang terdedah kepada risiko kemalangan kerana tidak sempat mengelak lubang longkang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang penunggang motosikal, Azman Alias, 24, berkata, PBT perlu memastikan kemudahan yang disediakan adalah berkualiti dan tidak mendedahkan risiko bahaya kepada para pengguna jalan raya.
Bagi Zarina Zainal, 29 berkata, PBT berkenaan perlu segera menggantikan penutup lubang longkang tersebut supaya dapat menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan imej pekan tersebut
No comments:
Post a Comment