loading...
Friday, November 9, 2012
Pesakit hospital maut di lebuh raya
Inalillahi wainailaihi rojiun
10 November 2012
ALOR GAJAH - Kehilangan seorang pesakit dari salah sebuah hospital di negeri ini terjawab apabila mayatnya ditemui separuh hancur di Kilometer 220.4, Lebuhraya Plus arah selatan, di sini, tengah malam kelmarin.
Mangsa, Razali Thomas Muhammad Rasul Packianathan, 42, ditemui orang awam di tebing laluan paling kanan berdekatan pembahagi lebuh raya itu dalam keadaan mengiring.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat tubuh manusia bergelimpangan di tengah lebuh raya dalam keadaan cedera parah.
“Setiba di lokasi kejadian, polis mendapati tubuh mangsa berada dalam kedudukan mengiring dengan kedua-dua belah kaki dan tangan kanan mangsa hancur dipercayai dirempuh beberapa kenderaan,” katanya.
Menurutnya, tiada penemuan sebarang kenderaan di tempat kejadian termasuk pengenalan diri mangsa.
“Kesan cap jari mangsa dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan. Hasil pemeriksaan pendaftar penjenayah Bukit Aman mendapati, mangsa seorang India Muslim yang dilaporkan hilang ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital di negeri ini sebelum mayatnya ditemui.
“Difahamkan, petang sebelum kejadian, mangsa dilihat berjalan dengan masih berpakaian pesakit di penghadang besi tengah lebuh raya tidak jauh dari tempat mayat mangsa ditemui kakitangan Plus yang bertugas,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk bantu siasatan,” katanya.
Pelik arwah hilang ingatan
Adik mangsa, Muhammad Nur Amin Mohd Rasul, 22, berkata, kali terakhir mereka sekeluarga berjumpa abangnya Sabtu lalu namun keadaan arwah begitu mengejutkan apabila tidak mengingati ahli keluarganya.
“Arwah didaftarkan ke wad pada 28 Oktober lalu selepas diserang sakit perut serta komplikasi pada hati dan pihak hospital memaklumkan arwah perlu dimasukkan ke wad bagi mengenal pasti puncanya.
“Setiap hari keluarga kami akan ke hospital untuk melihat keadaan arwah.
Kali terakhir kami datang 2 November lalu dan mendapati arwah seperti hilang ingatan,” katanya.
Menurut Muhammad Nur Amin, pada 4 November lalu dia sekeluarga ke hospital kira-kira jam 12 tengah hari untuk menziarahi abangnya, namun terkejut apabila jururawat memaklumkan arwah disedari hilang seawal jam 7 pagi.
“Pengawal keselamatan di situ juga memberitahu tiada pesakit keluar merayau dari kawasan hospital,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Bukit Senggeh.
Bimbang perkara buruk menimpa abangnya, dia sekeluarga membuat laporan polis dan mencari arwah di serata tempat serta mengedar gambarnya kepada orang awam.
“Puas kami cari di semua tempat sehinggalah pada 7 November lalu kira-kira jam 7.30 pagi seorang jiran datang dan meminta kami menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah.
“Setelah dihubungi, pegawai penyiasat berkenaan meminta saya datang ke bilik mayat Hospital Melaka untuk melakukan pengecaman ke atas satu mayat,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga terkejut mendapati mayat separuh hancur berkenaan milik arwah abangnya yang sepatutnya sedang menerima rawatan di hospital.
Berselera makan tengahari sebelum masuk wad
Sementara itu, ibu mangsa, Aishah Rajeswari Abdullah, 59, berkata, dia terkejut ketika menziarahi arwah Sabtu lalu apabila arwah seperti tidak mengenalinya.
“Ketika itu saya menyatakan hasrat kepada kakitangan hospital untuk membawa arwah pulang.
Bagaimanapun mereka menghalang dan mendakwa boleh memantau keadaan arwah,” katanya.
Aishah berkata, sehari sebelum dimasukkan ke dalam wad, arwah sempat datang ke rumahnya dan menikmati makan tengah hari dengan begitu berselera sebelum mengambil manak tunggalnya pulang sekolah.
“Arwah seorang yang pemurah dan rajin membantu saya dan adikberadiknya yang lain," katanya.
Tambah Aishah, walaupun redha dengan pemergian Razali, namun dia dan keluarganya akan berusaha membawa perkara ini ke muka pengadilan kerana pengabaian pihak hospital terhadap anaknya.
“Arwah meninggal dunia bukan kerana sakit dalam rawatan tetapi kerana kemalangan di luar kawasan. “Jika perkara ini dipandang ringan pasti kejadian sama akan berlaku kepada keluarga pesakit lain,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/pesakit-maut-atas-lebuh-raya-1.102536
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment