loading...

Wednesday, November 7, 2012

Gara-gara elak lubang



8 November 2012 
 KUALA MUDA – Seorang kariah masjid di sini patah dua jari selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Semeling-Bedong dekat Pekan Bedong, kelmarin.

Mangsa, Latif Abdullah, 76, dilanggar lori apabila mengelak lubang ketika menunggang motosikal ke Masjid Bedong untuk membuat persiapan sembahyang Subuh.

Anak saudaranya, Abd Wahab Ismail, 42, berkata, ketika kejadian bapa saudaranya itu dalam perjalanan dari arah Semeling ke Bedong dan ingin membelok ke kanan di hadapan Bangunan GiatMara.

“Disebabkan terdapat lubang di kanan jalan, kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak dan laluan dari kedua-dua arah menjadi semakin sempit. Tambahan pula di sebelah kiri jalan terdapat treler di parkir menyebabkan jalan lebih sempit.

“Bapa saudara saya dilanggar dari arah belakang ketika mengelak lubang tersebut. Mujur dia tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Sukarela Bedong, Loh Poh Hean, 51, berkata, pihaknya terpaksa meletakkan pengadang dan lampu kecemasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebelum ini, saya telah memaklumkan isu lubang ini kepada pihak berkaitan, namun masih tiada tindakan walaupun hampir sebulan.

“Kon dan lampu diletakkan turut pecah dan terjatuh ke lubang apabila dilanggar pengguna jalan raya yang tidak sedar keadaan itu,” katanya.

Seorang peniaga, Redza Adzmi, 21, berkata, keadaan jalan yang gelap, tiada garis jalan dan kewujudan lubang sejak sebulan lalu membahayakan pengguna laluan terbabit.

“Saya harap pihak yang berkenaan dapat melakukan pantauan di sini dan mempertingkatkan kemudahan demi keselamatan semua pihak.

“Selain itu, nasihat perlu diberikan kepada pemilik treler yang sering meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana menyusahkan pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Unit Gerak Cepat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Zubaidah Hanoom Mohd Yusof berkata, MPSPK menerima aduan terbabit dan telah merujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk
tindakan selanjutnya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/warga-emas-dilanggar-lori-elak-lubang-1.101988



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my