loading...

Sunday, November 4, 2012

Padah langgar lampu isyarat

5 November 2012
ALOR GAJAH - Dua lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki masing-masing berlanggar di Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) persimpangan lampu isyarat Taman Mutiara, dekat sini awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, P Elangkeswaran, 26, dari arah Kelemak ke Pengkalan melanggar lampu isyarat merah sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Myvi dari arah Simpang Ampat.

Sumber berkata, kira-kira jam 3 pagi mangsa diekori dua kereta peronda polis di sekitar persimpangan lampu isyarat Kelemak selepas dilihat menunggang dalam keadaan mencurigakan.

“Polis menahan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

“Motosikal mangsa juga dipercayai berlanggar dengan Perodua Myvi dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Sumber berkata, akibat perlanggaran itu mangsa bersama motosikalnya tercampak ke tengah jalan.

“Terdapat juga sebuah kereta Honda dari bandar Melaka ke Simpang Ampat terbabas selepas mengelak dari merempuh mangsa,” katanya.

“Orang awam membantu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tiba tidak lama kemudian dan memberi rawatan awal kepada mangsa yang separuh sedar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Saiful Nazmi Said berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama tiga anggota.

“Setiba di lokasi kejadian mendapati mangsa terduduk di pembahagi persimpangan dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan ringan pada anggota badan,” katanya.

Menurutnya, anggota JPAM memberikan rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-cedera-motor-bertembung-kereta-1.100989


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my