loading...

Wednesday, November 7, 2012

Maut dirempuh Toyota Camry


7 November 2012
KUALA SELANGOR - Tidak sampai tempoh 24 jam seorang pekerja kilang dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika cuba melintas pada 4 November lalu, seorang lagi wanita meninggal dunia dalam kejadian kemalangan berasingan, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pertama membabitkan seorang pekerja kilang di Sungai Sembilang, dekat sini yang sedang melintas jalan dengan memimpin basikalnya sebelum dilanggar sebuah kereta.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, R Rajamanickam, 51, yang keluar dari deretan kedai berhampiran kedai kopi di KM27 Jalan Klang-Teluk Intan dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Camry yang datang dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri jalan dan dilaporkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala pemandu kereta, seorang lelaki berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan dan difahamkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Klang Utara sejurus kejadian.

“Merujuk laporan pemandu kereta terdapat, dia dikatakan gagal mengelak mangsa yang juga warganegara India sedang melintas gara-gara keadaan jalan yang gelap. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan mayat sudah dituntut rakan sekerjanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu katanya, kejadian kemalangan kedua pula membabitkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya di Jalan Persiaran Enam, Puncak Alam kira-kira jam 9 malam dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu Perodua Myvi itu dikatakan gagal mengelak dan dipercayai berlanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga individu yang ketika itu berada di laluan bertentangan dari arah Puncak Alam menuju ke arah Shah Alam.

“Akibat pelanggaran secara berdepan itu, pemandu dan dua penumpang Perodua Viva tersepit hampir 15 minit sebelum dikeluarkan anggota bomba, bagaimanapun penumpang sebelah pemandu, Hafizah Said, 36 dilaporkan mengalami kecederaan di kepala maut di tempat kejadian.

“Dua lagi dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut manakala pemandu Perodua Myvi yang dipercayai penuntut institusi pengajian tinggi awam turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-maut-dalam-tempoh-24-jam-1.101648


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my