loading...
Sunday, June 3, 2012
Konvoi Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
IPOH: “Dia (Noornazmin) sempat memeluk saya dua kali, seolah-olah berat hati meninggalkan kami untuk menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi pagi tadi (semalam) bersama adiknya. Saya tidak percaya kehilangan mereka beberapa jam kemudian,” kata ibu malang, Norhiah Abdul Rashid, 50-an, yang kematian dua anaknya serentak akibat kemalangan ngeri, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa yang juga pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohammad Noornazmin Mohd Norzri, 20, dan adiknya, Mohammad Noornazafiq, 18, maut apabila motosikal ditunggang merempuh belakang lori berhampiran kilometer 270, susur keluar tol Jelapang, Lebuh raya Utara-Selatan, di sini.
Nazmin dan adiknya yang membonceng motosikal dikatakan menyertai konvoi 15 motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang sebelum terbabit dalam kemalangan apabila kenderaan dinaiki merempuh belakang lori.
Pelanggaran itu menyebabkan Noornazmin cedera parah di perut dan kaki sebelum meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dua jam kemudian.
Norhiah yang tiba di bilik mayat HRPB jelas tidak dapat menahan air mata apabila mengetahui kedua-dua anaknya maut dalam tragedi itu.
Menurutnya, anaknya sempat sembahyang berjemaah awal pagi tadi (semalam) sebelum suaminya turut membaca surah Yasin bagi mendoakan kelancaran perjalanan mereka.
“Saya tak sedap hati dan meminta Noornazmin membatalkan hasrat menyertai konvoi itu. Malah, saya khuatir keselamatannya kerana motosikal ditunggangnya baru dibeli.
“Namun dia bersungguh-sungguh mahu menyertai konvoi itu. Saya sempat menasihatkannya supaya tidak menunggang laju dan sentiasa membaca ayat Kursi sepanjang perjalanan,” katanya sebak.
Menurutnya, dia sempat menghubungi telefon bimbit anaknya sebelum keluar ke pasar dan Noornazmin memberitahu mereka selamat sampai di Putrajaya.
“Paling menyedihkan apabila Noornazafiq yang baru mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal mendaftar sebagai pelajar di Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ pada Isnin depan,” katanya.
Sementara itu jurucakap polis berkata, pihaknya masih menyiasat punca mangsa dan adiknya melanggar belakang lori kontena.
Difahamkan, motosikal dinaiki dua beradik itu berada di tengah-tengah konvoi sebelum terbabit dalam kemalangan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Norzri Mohd Nordin, 50-an, dilihat tenang menerima berita buruk itu selain menganggap semua adalah takdir.
Jenazah kedua-dua beradik dikebumikan di Kampung Ramuan Cina Kechil, Melaka
Al-Fatihah
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Ajalmotosikalbaru/Article/artikelMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment