loading...
Tuesday, June 5, 2012
Peneroka Maut Dirempuh Lori
Inalillahi wainailaihi rojiun
GEMAS – Seorang peneroka Felda Pasir Besar, di sini, maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh treler dari arah bertentangan, di Kilometer 16, Jalan Gemas-Rompin, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Baharudin Ujang, 78, dipercayai dalam perjalanan ke kebunnya sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri membabitkan lori treler muatan kosong dari arah Rompin.
Anak mangsa, Zolkafli Mohd Said, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya itu pada malam Sabtu lalu ketika adik-beradiknya berhimpun di rumah bapa yang mengadakan kenduri bagi menyambut kedatangan Ramadan.
“Arwah bapa tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma dia sudah mengeluarkan duit tabung haji bagi menunaikan upah haji buat arwah datuk dan nenek namun tidak kesampaian kerana pihak Tabung Haji menyatakan kuota sudah penuh.
“Oleh demikian, kami adik beradik akan berbincang di kemudian hari bagi menunaikan hajat arwah bapa kami ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, (HT) di sini, semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai berada di tengah jalan tercampak beberapa meter dan cedera parah di kepala dan badan.
Menurutnya, motosikal mangsa diseret ke bahu jalan dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke HT untuk bedah siasat.
“Bagaimanapun, siasatan mengenai kejadian ini masih dijalankan. Kita minta kepada saksi kejadian supaya tampil membantu polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali menerusi talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hajat-peneroka-tak-kesampaian-1.53733
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment