loading...

Saturday, June 9, 2012

1 Maut 6 Cedera

PASIR MAS – Seorang lelaki maut, selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan tiga kenderaan lain, berhadapan Pondok Polis Chekok, semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 5.20 petang itu, mengorbankan They Bong Lit, 50, manakala enam lagi mangsa lain mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Bong Lit yang memandu kereta Honda Civic dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas, bersama rakannya, Mohamad Yusof, 48, dipercayai cuba memotong kereta Toyota Unser, sebelum melanggar bas sekolah dari arah bertentangan.

Mohamad bagaimanapun mengalami kecederaan parah dan mendapat rawatan di hospital yang sama.

Sementara itu, pemandu Unser, Ibrahim Mamat, 49; isterinya, Nazli Mohd Nor, 45; dua anaknya, Muhamad Fahmi, 13 dan Nurul Fasihah, 17 serta anak saudaranya, Nur Izzati Roslan, 20, mengalami kecederaan ringan.

Mereka dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Pasir Mas.

Tidak sempat mengelak

SEMENTARA itu, pemandu kereta Kancil, Mohamad Firdaus Hakimi Mohamad Nordin, 24, berkata, kejadian berlaku dalam masa yang amat pantas.

Menurutnya, dia yang memandu dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah, tidak sempat mengelak kereta yang dipandu mangsa, lalu bertembung seterusnya berpusing beberapa kali, sebelum terhenti di bahu jalan.

“Selepas itu, saya lihat terdapat bas dan dua lagi kenderaan lain juga tidak sempat mengelak, lalu bertembung antara satu sama lain.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan parah, namun masih terkejut dengan kejadian yang menimpa,” katanya, semalam.

Terkejut lihat mangsa terbabas

SEMENTARA itu, pemandu bas, Shamsuddin Mohamad, 46, yang memandu dari Pasir Mas ke Ipoh, Tanah Merah bersama 40 penumpang, tidak mengalami kecederaan parah.

“Saya yang memandu terkejut apabila mendapati mangsa terbabas ke laluan bertentangan.

“Mujur saya tidak membawa bas dengan laju, jika tidak pasti bas juga akan terbalik selepas dilanggar kereta itu,” katanya, semalam.

Kesemua penumpang bas kelihatan masih lagi terkejut, dan tidak menyangka kejadian ini berlaku ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Bachok.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Aminah berkata, dia mengalami lebam di bahagian tangan manakala anaknya lebam di bahagian pipi.

“Saya bersyukur kerana bas yang dipandu perlahan, tidak mengalami kerosakan teruk, jika tidak penumpang di bahagian hadapan pasti mengalami kecederaan parah,” katanya, semalam.

Hasil siasatan mendapati mangsa cedera parah

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian ini.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita masih menyiasat sama ada mangsa memandu dalam keadaan mabuk atau sebaliknya,” katanya, semalam.

Menurutnya, pihaknya menasihati semua pemandu agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga supaya kejadian kemalangan ini dapat dielakkan.

“Musim cuti sekolah ketika ini mengundang kesesakan lalu lintas, maka setiap pemandu disaran merancang perjalanan terlebih dahulu.

“Sikap panas baran dan tidak bertolak-ansur dikatakan menjadi punca utama berlakunya kemalangan di sini,” katanya, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi diminta tampil, untuk memberikan maklumat berhubung kejadian itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/seorang-maut-enam-cedera-1.55012

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my