loading...
Thursday, June 7, 2012
Warga emas tersepit
PENDANG – Seorang warga emas tersepit dalam kereta, manakala anaknya tercampak keluar dari kenderaan itu setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Alor Pudak, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, mangsa, Che Amii Darus, 74, mengalami kecederaan teruk apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya bersama anaknya, Azizah Che Ani, 53, terbabas di kiri jalan lalu terlanggar dua pokok dan sebatang paip air.
Ketika di tempat kejadian, mangsa hanya mampu menyebut nama ALLAH sahaja, sementara menunggu pihak berkenaan mengeluarkannya yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala anaknya sudah tercampak keluar daripada kenderaan.
Anak mangsa, Mohd Salim Abdul Rahman, 28, berkata, ibu dan datuknya, dalam perjalanan pulang ke rumah dekat Kampung Kerkau Guar Kepayang selepas melawat neneknya yang sakit di Hospital Alor Setar. “Ibu saya tidur di hospital, manakala datuk pergi ke hospital awal pagi untuk melihat nenek sambil mengambil ibu saya pulang ke rumah.
“Saya terkejut setelah dihubungi dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam. Mohd Salim berkata, ibunya setakat ini berada dalam keadaan stabil, cuma hanya terkejut dan mengadu sakit dada manakala datuknya dirawat di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Sementara itu, Penyelia Bomba Alor Setar, Abdul Razak Saad berkata, dia bersama lima anggota tiba di tempat kejadian selepas 15 minit menerima panggilan dan mendapati pemandu kereta itu berada dalam keadaan tidak bermaya kerana tersepit, manakala seorang lagi mangsa berada di luar kereta.
“Pihak bomba menggunakan alat pemotong hidraulik untuk memotong bahagian kereta agar dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya. Dalam pada itu, seorang saksi kejadian, Mohd Zakir Yami yang juga pekerja kontrak syarikat swasta berkata, dia bersama rakan-rakannya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat kemalangan itu.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama beberapa rakan sedang memasang pendawaian elektrik kira-kira 60 meter dari tempat kejadian mendapati kereta terbabit terlanggar sebatang pokok dan paip air seterusnya terpelanting serta melanggar sebatang lagi pokok di tepi jalan itu.
“Ketika itu, ia terbabas tanpa melibatkan kenderaan lain kerana waktu kejadian tiada kenderaan di laluan itu dan anak mangsa tercampak. “Kami segera ke tempat kejadian untuk membantu mangsa dan mendapatikereta mangsa hampir terbalik menyebabkan saya bersama rakan-rakan dan penduduk kampung terdekat bertindak menolak kereta itu untuk membantu mengeluarkan mangsa, namun pelbagai usaha dilakukan tetapi tidak berjaya sehingga bertindak menghubungi bomba,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/mangsa-tersepit-anak-tercampak-1.54440
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment