KUALA LIPIS 2 April - Kehadiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (1K1JPJ) membuka peluang kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman memiliki lesen memandu motosikal secara sah.
Mereka yang ditemui rata-rata menyambut baik program itu kerana sebelum ini golongan terbabit menunggang motosikal tanpa lesen.
Tok Batin Orang Asli Pos Betau, Ahmad Selalu berkata, kerajaan menerusi JPJ perlu lebih kerap mengatur program latihan dan ujian pemanduan kepada Orang Asli di pedalaman di negeri ini.
"Jarak yang jauh ke bandar dan kos tinggi menyukarkan Orang Asli berurusan dengan sekolah memandu di bandar Kuala Lipis atau Raub dan kekerapan ujian memandu perlu dilaksanakan berdekatan dengan tempat tinggal kami," katanya di sini baru-baru ini.
Katanya, ramai belia Orang Asli termasuk warga emas yang mampu memiliki motosikal memerlukan lesen untuk memudahkan mereka ke bandar bagi membawa hasil kampung dan menghantar anak ke sekolah.
Bagi seorang penduduk Perkampungan Orang Asli Bencah Kelubi, Hashim Abdullah, 52, dia berterima kasih kepada JPJ yang meluluskan ujian memandunya dan menyifatkan sebagai lembaran baru dalam hidupnya.
"Sebelum ini, saya berjalan kaki berulang alik sejauh 12 kilometer untuk berbelanja ke pekan Merapoh dari kampung pedalaman, tetapi setelah memiliki lesen, saya akan membeli sebuah motosikal baru untuk berurusan di sana," katanya.
Jelasnya, sebelum ini dia tidak pernah terbayang memperoleh lesen memandu tetapi setelah kempen itu dilaksanakan selain kesedaran memiliki lesen B2, dia cuba mengikut program itu sehingga selesai dan berjaya.
Bagi seorang penduduk Orang Asli Merapoh, Hussin Abdullah, 34, pula, kemudahan jalan raya yang ada di kampung mereka dan penggunaan motosikal pelbagai jenama membuka mata kaum minoriti itu untuk hidup selesa seperti kaum lain.
Katanya, memiliki lesen akan memudahkannya menunggang motosikal ke merata tempat berbanding sebelum ini dengan menaiki bot menyeberangi Sungai Jelai serta menaiki bas jika berurusan ke bandar Lipis dan Raub.
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_04.htm
No comments:
Post a Comment