loading...

Wednesday, April 4, 2012

Viva Bertembung Satria Neo

Inalillahi wainailaihi rojiun 

JAWI – “Pesanan isteri meminta saya menguruskan anak-anak sebelum keluar bekerja awal pagi semalam merupakan permintaan terakhir sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Pada 2 Mac lalu juga merupakan tarikh terakhir kami menyambut ulang tahun perkahwinan dan hasil perkahwinan sejak sembilan tahun lalu kami dikurniakan tiga cahaya mata,” kata Mohd Khuzairi Zaini, suami kepada Rosmalia Ishak, 37, yang maut dalam kemalangan awal pagi semalam.

Rosmalia maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan awal pagi semalam di Jalan Bukit Jawi Golf, di sini.

Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva maut di tempat kejadian manakala lelaki yang memandu kereta jenis Satria Neo, Mohd Zaidi Hashim, 38, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi semalam itu turut menyebabkan kereta yang dipandu Mohd Zaidi terbakar hampir 60 peratus.

Suami mangsa yang ditemui di Hospital Sungai Bakap berkata, kali terakhir dia bertemu isterinya pada jam 7 pagi semalam sebelum mangsa keluar ke tempat kerja.

“Isteri saya akan melalui jalan terbabit sejak dua tahun lebih untuk ke tempat kerjanya di Institut Kemahiran Tinggi Perda di Sungai Kechil, Nibong Tebal.

“Bagaimanapun, sejam sejurus isteri keluar meninggalkan rumah, saya dihubungi pihak pengurusan Perda dan diberitahu mengenai kematiannya,” katanya yang berkhidmat sebagai anggota bomba di Bandar Perda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata, dalam kejadian awal pagi semalam, satu kemalangan maut berlaku di Jalan Bukit Jawi Golf dan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki terbakar hampir 60 peratus.

“Mangsa, Rosmalia Ishak dan menetap di Bandar Perda maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu kereta jenis Satria Neo, Mohd Zaidi Hashim mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Rosmalia meninggalkan seorang suami dan tiga anak perempuan dengan masing-masing Shafiyatul Amyza, 9, Syaza Adriana, 6, dan Sofia Arisa, 7 bulan.

Jenazah Rosmalia akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak

Al-Fatihah...


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/seorang-maut-kereta-bertembung-terbakar-1.37366

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my