loading...
Friday, April 6, 2012
3 Sahabat Maut Bertembung Lori
KOTA BHARU - Tiga sahabat maut, apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dan terperosok bawah lori dalam kejadian di Kampung Cina, Kok Lanas, di sini malam kelmarin.
Kejadian pada jam 7 malam itu, menyebabkan pemandu kereta, Eyu Win Lee, 30, yang bekerja sebagai mekanik dan dua penumpang, Tan Phei Shia, 24, dan Wee Wai Hwa, 24, mati di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba Ketereh, Wan Ngah Wan Long berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.19 malam.
“Dua jentera dari balai Ketereh dan Machang dengan 13 anggota dihantar ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.
“Bomba mengambil masa 25 minit bagi mengeluarkan mayat mereka kerana keadaan kereta yang remuk dan terperosok di bawah lori menyukarkan kerja-kerja menyelamat,”katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Supritendan Ahmad Zaki Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika kereta jenis Daihatsu Charade yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Machang ke Kota Bharu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Win Lee, dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.
”Akibat pertembungan itu, kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa terperosok ke bawah lori dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat,”katanya.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing yang tinggal di Pasir Mas dan Pulai Chondong, Machang.
Ahmad Zaki berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian untuk membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Salam Takziah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tiga-sahabat-maut-nahas-1.37946
nst.com.my/latest/3-killed-after-car-collided-with-a-lorry-1.71179
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment