loading...
Friday, February 17, 2012
Lori Bergerak Sendiri
KUALA LANAR - Hasrat seorang pemandu lori untuk bersarapan terbantut apabila melihat kenderaan diletakkannya di bahu jalan bergerak sendiri sebelum melanggar bahagian hadapan sebuah kedai makan kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Pemandu lori itu, Sarifuddin Abdul Hamid, 34, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Jerantut menghala ke Felda Kechau untuk menghantar kelapa sawit.
Menurutnya, kebiasaannya dia akan berhenti bersarapan di Kuala Lanar dan meletakkan lori dengan muatan 16 tan kelapa sawit itu di bahu jalan kira-kira 50 meter dari kedai makan tersebut.
“Setelah menarik brek tangan, saya letak kayu di bahagian hadapan tayar kenderaan sebagai pengadang untuk mengelak ia bergerak.
“Setelah memastikan semuanya selamat, saya terus ke kedai makan untuk bersarapan. Namun ketika sedang menunggu makanan, saya terkejut apabila melihat lori saya bergerak ke arah kedai makan itu,” katanya, di sini, semalam.
Sarifuddin berkata, dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa ketika melihat lori itu bergerak perlahan lalu melanggar sebuah kereta di hadapan kedai makan tersebut.
“Setelah melanggar bahagian belakang kereta itu, lori tersebut kemudiannya terbalik ke dalam longkang dan mengenai beberapa bahagian kedai makan.
“Dalam kereta itu ada seorang murid sekolah rendah. Saya bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai makan, Sabariah Che Ismail, 53, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja memulakan perniagaan dan pada masa itu, terdapat lima pelanggan di kedainya.
“Saya terkejut apabila terdengar bunyi kuat di bahagian hadapan kedai. Saya dapati sebuah lori terbalik menyebabkan beberapa tiang dan zink kedai mengalami kerosakan.
“Sepanjang 10 tahun menjalankan perniagaan, ia merupakan kejadian pertama berlaku di sini dan saya bersyukur kerana peristiwa itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/lori-rempuh-kedai-makan-1.24890
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment