loading...
Friday, February 17, 2012
Pusingan ‘U’ Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
KUALA KRAI - Hasrat seorang anak yatim berusia 19 tahun untuk memiliki motosikal ‘baru’ tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Lata Rek, Manek Urai, dekat sini, kelmarin.
Mangsa, Muhamad Hamdan Ibrahim dari kampung itu terbunuh apabila motosikal dinaikinya merempuh sisi hadapan sebuah Ford Econovan yang dikatakan cuba membuat pusingan ‘U’ di kawasan kejadian.
Nahas kira-kira jam 5.30 petang menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di leher, manakala pemandu van berusia 40-an dan berasal dari kampung sama tidak mengalami sebarang kecederaan.
Motosikal ‘baru’
Abang tiri mangsa, Fakrol Che Adi, 20, berkata, ketika kejadian, Muhamad Hamdan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas baru habis kerja dan bercadang keluar semula untuk melihat sebuah motosikal terpakai yang akan dibelinya.
“Dua tiga hari lepas, arwah sudah tengok motosikal Yamaha RXZ dan duit RM1,300 pun sudah ada, cuma tunggu emak saudara yang pergi berubat di Rantau Panjang balik, baru dia nak bayar.
“Dia simpan duit gaji hasil kerja di tapak semaian anak getah dekat Laloh untuk beli motosikal sendiri kerana motosikal kami guna sekarang milik abang yang tinggal di Gua Musang,” katanya.
Fakrol ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang menziarahi jenazah Muhamad Hamdan di Bilik Mayat Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, kelmarin.
Sumbangan Adun
Simpati dengan nasib anak yatim terbabit, Mohd Fauzi menyumbangkan set lengkap peralatan kain kapan dan menampung sebahagian kos menguruskan jenazah.
Usaha mendapatkan gambar remaja terbabit bagaimanapun gagal kerana kemiskinan hidup menyebabkan mangsa tidak memiliki kad pengenalan dan hanya mempunyai surat beranak.
Kejadian menimpa Muhamad Hamdan mengulangi sejarah pahit tujuh tahun lalu apabila ibunya, Zainab Mamat meninggal dunia selepas 17 hari berada di unit rawatan rapi (ICU), juga akibat kemalangan jalan raya.
Mangsa ketika itu berusia 10 tahun turut ada bersama ibunya semasa kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, namun bernasib baik kerana terselamat dan hanya cedera ringan.
Tiada bantuan
Fakrol berkata, dia tahu adiknya kemalangan selepas dimaklumkan seorang rakan ketika berada di rumah, hampir dua kilometer dari lokasi kemalangan.
“Masa saya sampai di tempat kejadian, arwah masih bernyawa tetapi sudah tidak sedarkan diri sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira lima minit kemudian.
“Sebelum itu, saya cuba tahan beberapa kereta untuk bawa arwah ke hospital tetapi tidak ada seorang pun yang berhenti beri bantuan,” katanya yang mempunyai 10 adik beradik seibu termasuk Muhamad Hamdan.
Fakrol berkata, selepas tragedi meragut nyawa ibu mereka pada 2007, dia bersama Muhamad Hamdan dan seorang lagi adik perempuan berusia lapan tahun tinggal bersama emak saudara di kampung itu.
Menurutnya, nasib Muhamad Hamdan lebih malang berbanding adik-beradik yang lain kerana tidak pernah mengenali bapa kandung selepas ditinggalkan sejak kecil.
Perubahan arwah
Katanya, dia juga tidak menyangka beberapa perubahan ditunjukkan Muhamad Hamdan beberapa hari sebelum kejadian menjadi petanda adiknya itu akan pergi buat selama-lamanya.
“Arwah seorang pendiam dan sebelum ini tidak kisah jika saya pinjam barang dia seperti selipar tetapi beberapa hari lalu, tiba-tiba dia larang saya guna barang-barang dia.
“Motosikal yang dia naik masa kemalangan itu pun baru dua tiga hari lepas saya benarkan dia naik sendiri kerana sebelum ini, saya akan hantar dan ambil dia di tempat kerja,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah Muhamad Hamdan dimandikan dan disembahyangkan di Bilik Mayat HKK dengan diimamkan Mohd Fauzi dan disertai Penghulu Mukim Batu Lada, Abd Razak Taib.
Jenazah kemudian dibawa keluar dari hospital pada jam 2 pagi semalam untuk disemadikan berdekatan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laloh, Manek Urai, dekat sini.
Al-Fatihah:
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/anak-yatim-maut-kemalangan-1.24648
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment