Inalillahi wainailaihi rojiun
MUAR - Seorang penoreh getah menemui ajal dalam keadaan mengerikan dengan otaknya berkecai apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Mor, Parit Jawa dekat sini, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 pagi, mangsa, Kiman Sabar, 86, dari Parit Jawa menunggang basikal seorang diri menghala ke Jalan Parit Yusof.
Difahamkan, Kiman yang juga bapa kepada Penghulu Parit Jawa, Nasir Kiman dalam perjalanan dari rumahnya untuk menoreh getah di kebunnya yang terletak di Parit Jamil.
Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, basikal yang ditunggangi mangsa dipercayai digesel sebuah kereta Proton Waja yang melalui jalan berkenaan.
Akibat pergeselan itu menyebabkan basikal ditunggangi Kiman hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan mangsa tercampak ke tengah jalan.
Namun, malang bagi Kiman kerana ketika itu sebuah lagi kereta yang kebetulan melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa sebelum melarikan diri.
Kiman meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian anggota badan.
Manakala, pemandu kereta Proton Waja itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.
“Kami masih belum dapat mengenal pasti pemilik kereta dan identiti suspek yang terbabit dengan insiden langgar lari ini kerana dia masih belum membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mursyidah Abd Malik di talian, 017-3535386,” katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/otak-berkecai-atas-jalan-1.24394
No comments:
Post a Comment