loading...

Wednesday, October 5, 2011

Tak sempat memotong

TELUK INTAN - Tak sempat memotong kenderaan di hadapan menyebabkan seorang guru mata pelajaran Perdagangan, di sini, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisiner Goh Kok Liang berkata, mangsa S Chandran, 29, berasal daripada Jalan Feri, Simpang Empat, Hutan Melintang maut apabila kenderaan yang dipandu terseret kira-kira 66 meter di Kilometer 10 Teluk Intan - Hutan Melintang, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa memandu seorang diri dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang, manakala treler dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping dan dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama seorang kelindan berusia 19 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa dalam perjalanan daripada Teluk Intan ke Hutan Melintang cuba memotong kenderaan di hadapannya.

“Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan gagal memotong dan telah bertembung dengan sebuah treler muatan besi buruk dari arah Hutan Melintang ke Teluk Intan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa terseret kira-kira 66 meter selain terperosok di bawah treler tersebut.

“Mangsa yang tersepit di dalam kenderaannya terpaksa dikeluarkan sepasukan Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dan Teluk Intan dengan kekuatan 14 anggota dan dua jentera.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian bawah treler ini,” katanya.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan putus kedua-dua kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu treler turut mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala kelindannya alami cedera ringan, menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sekiranya mana-mana individu melihat kejadian kemalangan terbabit, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azli di talian 05-629 9222 untuk memberikan maklumat.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan mangsa baru melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan Ogos lalu dan isterinya berasal daripada Negeri Sembilan, bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat peguam di Putrajaya.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my