JENGKA 3 – Hasrat dua remaja untuk menghadiri temu duga terbuka di Kuantan tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki dirempuh dari arah belakang di Kilometer 31.5 Jalan Maran-Bandar Jengka berhampiran Stesen Minyak Jengka 3.
Salah seorang mangsa, Engku Habibah Raja Muhammad, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu kereta jenis Perodua Kancil untuk mengisi minyak di Stesen Minyak Jengka 3.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan keretanya dirempuh dengan kuat dari arah belakang sebelum berpusing dan terbalik ke bahagian tepi jalan sebelum terbalik.
“Saya dalam perjalanan untuk mengisi minyak di Stesen Minyak Jengka 3 dan ketika dalam perjalanan kereta yang dipandu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.
“Akibat rempuhan yang terlalu kuat saya gagal mengawal kenderaan sebelum kenderaan tersebut berpusing dan terbalik ke bahagian kiri jalan,” katanya.
Engku Habibah berkata, ekoran kejadian tersebut dia dan rakannya, Farah Nor Syairah Sharoni, 20, mengalami luka di bahagian kepala, muka, leher dan kaki.
“Kereta yang dipandu saya remuk teruk di bahagian bonet belakang, bumper, cermin hadapan, cermin tingkap hadapan dan sisi depan belakang turut pecah menyebabkan kami cedera ketika cuba meloloskan diri melalui tingkap yang pecah selepas kereta tersebut terbalik.
“Saya dan rakan ingin mengisi minyak kerana berniat meneruskan perjalanan ke Kuantan bagi menghadiri temu duga terbuka di sana namun tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Menurutnya, namun dia bersyukur hanya mengalami luka kecil dan tidak melibatkan kecederaan serius.
Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.
Sumber; SH
No comments:
Post a Comment