loading...

Thursday, October 6, 2011

Pengawal keselamatan Hospital Kuala Lumpur Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuching, kelmarin dengan dadanya tertusuk besi hentian bas.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, mangsa, Mohd Yusof Mat Isa, 52, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas.


Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa terbabas ke kiri jalan menyebabkan mangsa tercampak ke arah besi penghadang sebuah hentian bas.

“Akibat kemalangan itu, dada mangsa ditembusi besi menyebabkan mayatnya tergantung,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan laluan ke arah Selayang sesak sejauh kira-kira tiga kilometer.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, seorang pekerja penghantar makanan segera maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Pandan berhampiran Bulatan Kampung Pandan.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam apabila motosikal ditunggangi mangsa, Wan Mohd Zaini Wan Mohd Zin, 28, hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu sebelum tercampak beberapa meter.

“Mangsa dalam perjalanan pulang dari Bukit Bintang sebelum motosikalnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan lalu merempuh sebatang tiang lampu,” katanya.

Rakan mangsa yang ditemui, Norzulhelmi Abu, 28 berkata, dia tidak menyangka pertemuan pada majlis pernikahan seorang teman menjadi pertemuan terakhir mereka.


“Arwah tidak henti-henti bergurau senda dengan rakan-rakan dan lebih ceria berbanding biasa, malah ada memberitahu kami niatnya yang mahu mencari kerja lebih baik,” katanya.


Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat dan saksi kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my