TOK HAS - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah Proton Wira Aeroback yang dikatakan sedang membuat pusingan U di sini kira-kira jam 4.45 petang, kelmarin.
Mangsa, Mohd Faiz Hassan, 27, dari Rumah Awam Gertak 100, Kuala Besut tercampak beberapa meter selepas motosikalnya merempuh bahagian depan sebelah kiri kereta tersebut, yang membuat pusingan U berhampiran sebuah kedai runcit di Kenjing dekat sini.
Menurut saksi, sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 50-an bersama seorang anak lelaki dari arah Jertih ke Kuala Besut ingin membuat pusingan U ke arah Jertih, sebelum dirempuh mangsa yang dari arah Kuala Besut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian lutut dan kepala, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut dengan menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Keadaan motosikal berkuasa tinggi mangsa pula remuk pada bahagian depan manakala kereta terbabit rosak di sebelah kiri depan.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment