KUANTAN - Seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 8, Jalan Pintasan Kuantan dekat Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, petang kelmarin.
Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, pemandu kereta Honda Civic, Nuralif Abdul Rahman, 23 dari Taman Indera Mahkota di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Manakala penumpangnya, Muhd Sufian Masri, 30 dari Felda Bukit Sagu 1 dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh berkata, pemandu kereta jenis Produa Viva yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai turut mengalami kecederaan parah.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah pelabuhan ke Kuantan hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian.
“Ekoran kejadian, kereta itu dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu melanggar besi pembahagi jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva terbabit.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat sebelum jenazah kedua-dua mereka dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan,” katanya.
Mohd Najid berkata, kemalangan yang meragut nyawa pemandu dan penumpang kereta terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Justeru itu beliau menasihatkan semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment