loading...

Wednesday, July 20, 2011

Jalan Taman Serai Setia berlubang


PADANG SERAI- Penduduk Taman Serai Setia di sini, kecewa dengan sikap pihak berkenaan kerana tidak melakukan kerja penyenggaraan jalan di kawasan itu sehingga mengakibatkan kemalangan serius. Sehingga kini banyak aduan dibuat tetapi tidak ada pihak yang datang untuk menyelesaikan masalah itu.

Penduduk Hamzah Omar 43, berkata, kemalangan berlaku hampir setiap hari dan terbaru seorang lelaki patah kaki kanan apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar lubang sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan.

Menurutnya, masalah ini lebih berbahaya ketika hujan lebat kerana kebanyakan lubang di atas jalan dipenuhi air. Apabila ini berlaku, pengguna jalan terutama penunggang motosikal akan terdedah dengan bahaya.

“Masalah ini bukan baru dan penduduk di taman ini sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Berikutan itu, saya berharap pihak berkenaan segera menurap jalan ini semula sebelum berlaku kemalangan maut.

“Saya meminta kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk memastikan masalah ini selesai dengan membaiki jalan ini segera. Jangan tunggu sehingga berkempen pilihan raya baru masalah kami baru hendak diselesaikan,” katanya.

Warga emas, Ramli Abdullah berkata, selain masalah jalan berlopak, kawasan itu juga kurang lampu jalan.

“Kemalangan selalunya berlaku pada waktu malam. Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera untuk memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.

“Selain itu, penduduk terpaksa meletakkan kerusi di jalan yang berlubang untuk memastikan tidak ada penduduk terlibat dalam kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Norhayati Hashim ketika dihubungi berkata, beliau akan membawa masalah penduduk ke MPKK untuk memastikan masalah itu dapat diatasi.

“Saya akan mendapatkan laporan polis tentang kemalangan melibatkan penduduk di taman itu supaya ia boleh dijadikan dokumen sokongan untuk saya memohon MPKK menurap jalan itu dengan segera,” katanya.

SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my