NIBONG TEBAL 1 Jun - Laluan ke utara melalui Lebuh Raya Utara-Selatan terputus hampir tujuh jam semalam gara-gara sebuah lori balak terbalik di Kilometer 162, dekat Plaza Tol Juru, menyebabkan ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan hampir 30 kilometer.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika hujan lebat apabila lori berkenaan yang datang dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas sehingga menyebabkan kesemua 15 batang balak yang dibawanya terjatuh dan bertaburan di atas lebuh raya.
Difahamkan, kesesakan teruk berlaku sehingga ke kawasan Taiping Utara manakala talian bebas tol lebuh raya tersebut juga dihujani panggilan daripada orang ramai.
Jurucakap PLUS Expressways Berhad (PLUS) yang dihubungi memberitahu, pihaknya terpaksa menutup laluan berkenaan dan mengalihkan trafik menggunakan jalan persekutuan dari Jawi menuju Bukit Tambun.
Menurut jurucakap itu, sebuah kren digunakan untuk mengangkut lori serta balak berkenaan dan keadaan trafik di laluan itu pulih sepenuhnya kira-kira pukul 3.20 pagi.
Pemandu lori tersebut, Rosli Kassim, 49, ketika ditemui memberitahu, ketika kejadian, dia sedang memandu di sebelah kiri lebuh raya sebelum sebuah kereta secara tiba-tiba menukar laluan dari kanan ke kiri.
"Saya terkejut dan cuba membrek tetapi gagal mengawal lori sehingga terbabas ke laluan bersebelahan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya," katanya yang hanya mengalami cedera ringan di tangan kanan.
Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan membawa muatan balak dari Gopeng, Perak menghala ke Pokok Sena, Kedah.
Menurutnya, dia sempat mendengar muatan yang dibawanya jatuh satu persatu dan ketika itu hanya mampu berdoa agar tiada kenderaan yang merempuh kayu balak yang rata-rata berukuran enam hingga tujuh meter panjang.
Sebuah kereta yang berada di belakang lori tersebut juga gagal mengawal kenderaan lalu melanggar pembahagi lebuh raya tetapi pemandunya tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kita sudah menjalankan pemeriksaan air kencing dan pemandu lori berkenaan disahkan tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment