TEMERLOH – Seorang pelajar yang mengikut bapanya bertugas sebagai pemandu treler dengan menghantar barang maut apabila treler dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 130.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai N.Nithiaraj, 15, maut serta merta akibat tersepit.
Menurutnya, dalam kemalangan jam 7.45 malam itu treler dipandu M.Nadarajah, 53, dalam perjalanan pulang ke Karak selepas menghantar barang di Kuantan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian treler terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung lalu terbalik.
“Akibatnya, mangsa yang duduk di sebelah pemandu tersepit dalam kepala lori dan cedera parah di bahagian kepala serta beberapa bahagian badan lain lalu meninggal serta merta,” katanya.
Zundin berkata, pemandu treler terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketika kejadian cuaca baik dan permukaan jalan kering serta aliran trafik tidak sibuk.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zundin menasihati pemandu dan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi had laju dibenarkan dan tidak memandu melulu hingga menyusahkan diri sendiri dan pengguna yang lain.
No comments:
Post a Comment