loading...

Saturday, June 4, 2011

2 Rela Maut Angkara Elak Kucing


SEREMBAN 4 Jun – Dua anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang cuba mengelak bangkai seekor kucing di Jalan Lenggeng-Mantin, malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.40 malam ketika Amran Ahmad, 36, dan Zainal Abidin Nordin, 46, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas di Depot Tahanan Imigresen di Lenggeng.

Mangsa yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dan Modenas Kriss dirempuh sebuah Mitsubishi Storm itu yang terbabas ke laluan bertentangan ketika cuba mengelak bangkai kucing tersebut.


Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal beriringan untuk pulang ke rumah di Mantin dan Nilai selepas selesai bertugas.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan dikatakan terbabas lalu merempuh kedua-dua mangsa.

“Rempuhan yang kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan manakala kenderaan pacuan empat roda itu terbalik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kenderaan Mitsubishi Storm itu dikatakan terbabas selepas cuba mengelak bangkai seekor kucing di atas jalan sebelum ia masuk ke laluan bertentangan.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala manakala pemandu Mitsubishi Strom itu hanya cedera ringan,” ujarnya.
 
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, kakak kepada Amran, Puzilah Harun, 43, memberitahu, adiknya yang baru empat bulan bertugas di depot tahanan itu merupakan seorang yang periang.

Namun katanya, sejak kebelakangan ini, Amran kelihatan pendiam dan jarang bercakap dengan ahli keluarganya yang lain.

“Saya tidak sangka perubahan sikap itu merupakan petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” ujarnya sambil menitiskan air mata.
 
 
Dua Anggota RELA Baru Tamat Bertugas Di Depoh Lenggeng Maut 
 
 
LENGGENG: Dua anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang baru menamatkan tugas di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah Mitsubishi Storm di Jalan Lenggeng-Mantin pada pukul 11.30 malam Jumaat.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Zainal Abidin Nordin, 46, dan Amran Ahmad, 36, yang masing-masing menunggang motosikal berasingan dan bergerak pulang beriringan sebaik sahaja selesai bekerja.

Menurut polis, kenderaan pacuan empat roda, yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an, dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa sebelum terbalik akibat cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang tiba-tiba melintas jalan.

Kucing itu mati dilenyek tayar kenderaan besar itu.

"Kedua-dua mangsa terbunuh akibat kecederaan parah di kepala. Pemandu Storm terbabit terselamat," katanya kepada Bernama.


Jenazah kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat.

Seorang saksi Norzita Shamsuddin, yang juga rakan setugas kepada kedua-dua mangsa, berkata kemalangan berlaku di jalan yang lurus tetapi agak gelap.

Katanya dia bersama suaminya, yang menunggang motosikal lain, berada di belakang kedua-dua mangsa apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman.

"Saya tidak melihat apa yang berlaku kerana mereka (mangsa) telah melepasi satu selekoh. Bila sampai, saya lihat Mitsubishi Storm terbalik. Saya berhenti untuk membantu dan ketika itu baru saya terperasan kedua-dua motosikal milik rakan setugas remuk dilanggar," katanya.

Luluh hati apabila melihat mayat Zainal kerana sebelum tamat bertugas, allahyarham secara berseloroh memberitahu dia mahu bercuti lama, kata Norzita.

Norzita, yang tidak dapat menahan sebak, bercerita Amran pula berwajah pucat sejak dua minggu lepas dan dia tidak menyangka kedua-dua rakan setugas yang sudah lama dikenalinya itu maut ketika dalam perjalanan ke rumah masing-masing, yang terletak di Mantin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my