loading...

Tuesday, August 27, 2013

Lihat rakan melambung



27 Ogos 2013
TELOK KEMANG – "Saya tidak sangka lelaki yang melambung di atas jalan itu adalah rakan saya," luah seorang saksi kemalangan maut di simpang lampu isyarat Bandar Sunggala, petang kelmarin.


Mohamed Zulkifli Adnan, 23, berkata, beberapa minit sebelum kejadian, dia sempat berbual dengan rakannya sebelum memaklumkan ingin pulang ke rumah di Bandar Sunggala.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di deretan premis perniagaan bertentangan dengan lokasi kejadian.

“Ada kedengaran bunyi dentuman yang agak kuat dan sejurus itu kelihatan seorang lelaki melambung sebelum terjatuh ke atas jalan,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa, T Ravendaran, 38, yang membonceng motosikal jenis Honda maut di Hospital Port Dickson (HPD) sekitar jam 7.40 malam akibat kecederaan parah.

Manakala rakannya yang juga penunggang motosikal, N Thanakumaran, 26, cedera parah dan dikejarkan ke HPD sebelum dihantar ke KJP Healthcare Berhad (KPJ) untuk rawatan lanjut.

Kejadian kira-kira jam 7.05 malam itu membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Audi dan motosikal jenis Honda.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Telok Kemang masuk ke simpang kanan lampu isyarat ke Bandar Sunggala sebelum dirempuh kereta pacuan empat roda. Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak beberapa meter dari lokasi kemalangan.

“Pemandu pacuan empat roda yang berusia 38 tahun dan memandu bersendirian itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abd Wahab berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-3803462 untuk membantu siasatan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Rumah mayat HPD untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
Sinarharian.com.my/edisi/pahang/rakan-melambung-depan-mata-1.196061



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my