loading...

Wednesday, July 31, 2013

5 maut 1 cedera


Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Julai 2013
JOHOR BAHRU: Lima maut dan seorang cedera apabila kenderaan pelbagai guna Honda Odyssey dinaiki merempuh pokok dan tiang lampu dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, jam 2 pagi tadi.

Ketua polis daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Odyssey itu terbabas dan ternaik ke pembahagi jalan sebelum merempuh pokok serta tiang lampu.

Lima yang maut ialah Hairul Adham Abidin, 25, Nazierul Khalies Mohd Ashari, 19, Nor'ain Alias, 23, Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, dan seorag lagi dikenali sebagai Su, 23.

Mangsa yang cedera ialah Nor Sharifah Hazwani Bardaidi, 23.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulajaya untuk bedah siasat manakala yang cedera ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk rawatan.

Kenderaan pelbagai guna dinaiki mangsa remuk teruk dalam kemalangan maut di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kulaijaya, Johor


Tanya mama soal mati

Johor Bahru: “Mama, kalau saya meninggal macam mana?“ Itu antara kata-kata terakhir Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, kepada ibunya, Mazliah Yakub, 45, sebelum keluarga menerima berita kematiannya bersama empat rakan akibat kemalangan di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Mazliah berkata, kehilangan anak keempat daripada lima beradik itu cukup dirasai lebih-lebih lagi menjelang Syawal. Menurutnya, persiapan untuk menyambut Aidilfitri di kampung mereka di Melor, Kelantan juga sudah dilakukan.


“Kini hanya jubah merah jambu dihadiahkan arwah untuk sambutan Aidilfitri menjadi kenangan paling bermakna bagi saya. Sebelum ini, arwah tidak pernah membelikan saya pakaian, sebaliknya lebih selesa memberi wang untuk persiapan Aidilfitri.

“Sebelum pergi, Mohd Fadzli sering bertanya bagaimana jika dia mati menyebabkan saya hairan. “Pada malam sebelum kejadian, arwah kelihatan gembira dan meminta saya menggoreng talapia kegemarannya dan di memakannya penuh berselera,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulaijaya.

Bagi Nor Hidayah Abu Bakar, 26, balu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh, Hairul Adham Hamidan, 25, suaminya turut meninggalkan pesanan pelik kepadanya.

Menurutnya, pesanan itu disampaikan ketika mereka dan anak tunggal, Danish Izham, 2, keluar membeli lauk untuk bersahur di sebuah pasar raya selepas berbuka puasa pada malam sebelum kejadian. “Dengan nada bersahaja, arwah suami berkata ‘ini lauk terakhir saya belikan untuk awak’, malah dia juga mengizinkan saya membawa anak kami pulang ke kampung jika mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentua berikutan dia tidak mendapat cuti.

“Suami kemudian keluar berjumpa rakannya pada jam 10 malam dan saya tidak mengesyaki perkara pelik kerana itu rutin hariannya. Bagaimanapun, dia tidak pulang seperti biasa, pada jam 3 pagi saya menerima panggilan daripada polis memaklumkan berkaitan kemalangan itu,” katanya.

Ibu Hairul Adham, Monarita Mohd Kamil, 49, pula berkata, dia umpama mendapat petanda perkara buruk akan menimpa keluarganya apabila merasa debaran luar biasa ketika beribadat sepanjang, malam semalam.



5 sahabat maut dalam nahas selepas makan bersama di Kulaijaya, Johor

Kulaijaya: Kegembiraan enam sahabat keluar makan bersama sebelum masing-masing pulang bercuti Aidilfitri, bertukar tragedi apabila lima daripada mereka maut dalam nahas ngeri di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 2.30 pagi itu, Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, berasal dari Kelantan; Hairul Adham Hamidan, 26, (Melaka); Nor'ain Alias, 23, (Kota Tinggi) serta pelajar Diploma Kejuruteraan Marin UniKL, Nazierul Khalies Mohd Ashari, 19, (Johor Bahru); dan Siti Sabariah Mohd Nordin, 24, (Kelantan) maut di tempat kejadian.


Kenderaan milik abang 

Seorang lagi, Nor Syarifah Hazwani Bardaidi, 21, pembantu stesen minyak di Johor Bahru cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey milik abang kepada Mohd Fadzli yang dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu Mohd Fadzli terbabas naik ke atas pembahagi jalan sebelum merempuh tiang lampu serta pokok di tempat kejadian.

Katanya, akibat rempuhan itu, empat penumpang yang duduk di tempat duduk belakang MPV terbabit tercampak keluar, manakala pemandu MPV tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.

“Siasatan awal mendapati enam rakan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas berjumpa dengan seorang rakan mereka di sebuah restoran di bandar Kulai, sebelum masing-masing pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Hilang kawalan 

“Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang ke rumah sewa masing-masing, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu serta pokok,” katanya.

Zulkefly berkata, lima mangsa mati di lokasi kejadian kerana cedera parah di kepala dan tubuh badan masing-masing, sementara mangsa yang terselamat kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Mayat semua mangsa dibedah siasat di Hospital Kulaijaya sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk pengebumian,” katanya.

Zulkefly memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Limamaut_seorangcedera//Article
thestar.com.my/News/Nation/2013/08/01/Tragic-outing-for-six-friends-Only-one-survives-car-crash-in-Senai.aspx
bharian.com.my/bharian/articles/Makanbersamaterakhir/Article/
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tanyamamasoalmati/Article/index_html



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my