loading...

Thursday, October 4, 2012

Kereta baru remuk dirempuh

MELAKA: Kegembiraan seorang mekanik keluar makan malam menaiki kereta baru dibelinya dua minggu lalu, bertukar duka apabila kereta itu remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Persimpangan Taman Kota Laksamana di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam membabitkan empat kenderaan iaitu Proton Saga BLM, Perodua Kancil, Perodua Viva dan Perodua Myvi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Difahamkan, nahas berlaku apabila Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Persimpangan Syahbandar merempuh Proton Saga dipandu Roslan Johari, 24, dan Kancil dipandu lelaki berusia 28 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

Rempuhan kuat mengakibatkan Proton Saga melanggar Viva dipandu lelaki berusia 21 tahun yang turut berhenti di persimpangan itu.


Menurut Roslan, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Mas selepas selesai makan malam bersama dua rakannya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang.


“Saya memberhentikan kenderaan di belakang Viva kerana lampu isyarat ketika itu merah. Namun, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat hingga menyebabkan kereta dipandu bergerak ke depan dan melanggar Viva itu.

“Jarak kereta saya dengan kenderaan di depan agak jauh tetapi rempuhan Myvi itu terlalu kuat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.


Beliau berkata, walaupun terkejut dengan kejadian yang mengakibatkan bahagian depan dan belakang kenderaannya remuk, dia bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku.

“Siapa tidak sedih jika kereta yang baru dua minggu diperoleh remuk disebabkan kecuaian pemandu lain. Namun, saya bersyukur kerana kedua-dua rakan yang duduk di bahagian penumpang belakang selamat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan pihaknya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Keretabarudibeliremukdirempuh/Article


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my