Inalillahi wainailaihi rojiun
5 Oktober 2012
KUANTAN - Seorang anggota polis bantuan maut selepas motosikalnya terlanggar sebongkah kayu yang secara tiba-tiba jatuh ke atas jalan raya di Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat bandar Raub semalam.
Dalam kejadian 10.05 malam itu, Wan Mohammad Ridzuan Wan Hassan, 20, yang berasal dari Kelantan dan bertugas di Genting Highlands, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raub.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.
"Mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur, mangsa terlanggar satu bongkah kayu yang secara tiba-tiba jatuh dari kawasan berbukit dekat situ," katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang buruh warga Indonesia maut dihempap pacuan empat roda yang dinaiki selepas kenderaan itu terbalik ketika menuruni bukit di Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Kor Olu Cheka, Jerantut.
Mohamed Fauzi berkata dalam kejadian 5 petang semalam itu, mangsa, Imam Kharir, 27, disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Jerantut.
"Ketika kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan sekerja dikatakan duduk di bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan, yang dalam perjalanan menghala ke Ulu Cheka dari tempat pembalakan," katanya.
Beliau berkata ketika menuruni bukit, pemandu pacuan empat roda dipercayai gagal mengawal kenderaan itu kerana permukaan jalan licin berikutan hujan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan mangsa bersama tiga rakannya bertindak melompat keluar untuk menyelamatkan diri.
"Bagaimanapun, mangsa dikatakan gagal menyelamatkan diri sebelum dihempap kenderaan berkenaan, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan kepala," katanya.
Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/anggota-polis-bantuan-maut-nahas-jalan-raya-1.91785
No comments:
Post a Comment