loading...

Sunday, September 30, 2012

Rentung depan mata


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Oktober 2012
KOTA TINGGI - Hasrat seorang anggota polis untuk beriadah bersama keluarganya di Tanjung Balau tidak kesampaian apabila rentung dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Lok Heng-Mawai, pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, anggota polis terbabit, Daud Talib, 46, yang menaiki sebuah van jenis Nissan bersama isteri, empat anak dan tiga anak saudaranya sedang dalam perjalanan dari Felda Lok Heng Barat menuju ke Tanjung Balau.

Menurutnya, tiba-tiba van yang dipandu hilang kawalan menyebabkan ia bertembung dengan sebuah Proton Saga yang masuk ke laluan bertentangan.

Kereta tersebut dipandu seorang wanita yang merupakan pekerja kilang elektronik bersama anak lelakinya berusia 12 tahun.

“Difahamkan van tersebut terbalik lalu terbakar, mangsa yang tersepit pula gagal diselamatkan dan rentung di tempat kejadian. Isteri, anak serta anak saudaranya berjaya menyelamatkan diri. Sementara itu, pemandu wanita terbabit Adibah Hashim, 48, juga meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Amirul Fahmi Mohd Amin hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Che Mahazan berkata, Adibah dikatakan baru sahaja mengambil anaknya di Felda Air Tawar 2 selepas pulang bekerja di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru. Menurutnya, difahamkan kedua-dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Lok Heng Selatan sebelum terbabit dalam kemalangan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Nampak ayah tersepit sebelum pengsan

Dalam pada itu, anak anggota polis terbabit, Noraini Shahira Daud, 17, yang turut berada di dalam van ketika kejadian berkata, dia sedang tidur dan hanya sedar apabila berlaku hentakan kuat sebelum melihat asap keluar dari dalam kenderaan.

“Kami dalam perjalanan dari rumah nenek di Felda Lok Heng Barat untuk mandi-manda di Tanjung Balau. Saya tidur ketika itu dan tidak menyedari apa-apa. Apabila sedar dan nampak asap, saya terus menyelamatkan diri bersama yang lain.

“Saya juga dapat melihat ayah dalam keadaan tersepit di dalam van, tetapi semuanya kabur apabila saya pengsan dan hanya sedar apabila tiba di hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini.

Menurut anak kedua dari lima beradik itu, mereka ke Felda Lok Heng Barat untuk melawat nenek yang sedang sakit.


Jumpa isteri satu jam sebelum kejadian

Sementara itu, suami Adibah, Mohd Amin Rahiman, 63, berkata, dia tidak menyangka pertemuan dengan isterinya satu jam sebelum kejadian adalah yang terakhir bagi mereka.

Menurutnya, rancangan untuk mengadakan majlis bacaan Yassin di rumah kedua mereka di Felda Lok Heng Selatan yang dijadual petang ini (semalam) juga terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kenduri tahlil.

“Pada pagi kejadian, isteri saya baru pulang bekerja sebelum mengambil anak kami di rumah saya di Felda Air Tawar 2 untuk pulang ke Felda Lok Heng Selatan membuat persiapan kenduri. Dia memang beria-ia nak bawa anak.

“Kira-kira satu jam selepas mereka bergerak, saya menerima panggilan daripada anak saudara yang memberitahu isteri terlibat dengan kemalangan. Saya tidak menyangka yang dia akan pergi selamanya. Namun begitu saya bersyukur kerana anak tunggal kami terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kedua-dua jenazah telah dituntut oleh keluarga masing masing. Jenazah Daud dikebumikan di Kampung Usaha Jaya, Labis, manakala jenazah Adibah dikebumikan di Felda Bukit Ramun.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/hajat-beriadah-tak-sampai-1.90295
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my