loading...
Thursday, October 4, 2012
Bas kilang samseng jalanan
4.10.2012
PULAU PINANG 29 Sept. - Sikap segelintir pemandu bas kilang di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Bayan Lepas yang memandu secara berbahaya tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain diibaratkan seperti samseng jalanan.
Mereka dikatakan seolah-olah tidak mempedulikan peraturan jalan raya dan tidak takut untuk melanggarnya.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kira-kira 10 pemandu bas kilang dilihat cuba memotong kenderaan di garisan berkembar termasuk menghimpit kenderaan kecil lain dari arah bertentangan.
Malah ada dalam kalangan mereka bertindak berani memecut laju tanpa memberi isyarat memotong.
Kejadian tersebut boleh dilihat pada waktu puncak iaitu ketika pekerja kilang tamat syif terutama di Bayan Baru menghala Bukit Jambul dan Relau.
Masalah berkenaan turut menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Menurut seorang pengguna jalan raya yang ingin dikenali sebagai Tan, dia sudah lali dengan situasi sebegitu kerana keretanya pernah dihimpit bas kilang sehingga bercalar.
"Ketika itu, pemandu bas kilang yang menyedari keadaan tersebut hanya meneruskan perjalanan tanpa mengambil peduli kenderaan saya.
"Mereka mungkin berasakan kenderaan mereka bersaiz besar dan tidak takut dengan kenderaan lain yang lebih kecil. Kalau mereka himpit pun tidak meninggalkan kesan langsung pada badan bas itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, asap hitam dan pekat yang dikeluarkan bas kilang juga mencemarkan alam sekitar dan kesihatan pengguna lain.
"Cuba bayangkan kalau penunggang motosikal berada di belakang bas kilang itu, sudah tentu bau asap memberi kesan sampingan terhadap kesihatan orang lain," jelasnya.
Sehubungan itu, Tan menggesa pihak bertanggungjawab seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau keadaan tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
Sumber:
utusan.com.my/utusan/Utara/20120930/wu_01/Pemandu-bas-kilang-samseng
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment