loading...
Monday, September 10, 2012
Warga Bangladesh Maut Digilis Lori
10 September 2012
SERDANG – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hancur digilis sebuah lori di jalan utama Serdang Raya, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa warga Bangladesh, Md Rana, 30, dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian dari arah Seri Kembangan menghala ke Serdang Raya.
Ketika sampai di simpang Jalan SR 6/1, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang membelok ke kanan menuju ke arah Seri Kembangan.
Sumber berkata, mangsa dikatakan cuba mengelak kereta itu dan masuk ke jalan bertentangan dipercayai untuk mengelakkan rempuhan berlaku.
Menurutnya, akibat terbabas, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum digilis sebuah lori yang datang dari arah Kuala Lumpur.
Kejadian malang itu menyebabkan tempurung kepala mangsa pecah manakala otaknya berselerak di atas jalan.
Katanya, menurut saksi, lori berkenaan terbabas sedikit ke bahu jalan, namun meneruskan perjalanan dan tidak berhenti melihat kejadian selepas itu.
Pemandu lori juga dikatakan masih belum membuat laporan polis sehingga jam 1 pagi, semalam.
“Motosikal mangsa berlanggar bahagian bucu kiri kereta Proton Saga dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak mereka.
“Akibat terbabas, motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum dia yang tercampak digilis sebuah lori yang dipercayai berwarna kuning,” katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Beliau berkata, pemandu kereta dan tiga penumpang tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/penunggang-gagal-elak-kereta-1.83463
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment