loading...
Monday, September 10, 2012
Bapa dan 2 anak maut bertembung lori
11 September 2012
SABAK BERNAM- Seorang bapa dan dua anaknya antara lima maut apabila kereta dinaiki bersama dua kenalan terbabas sebelum merempuh lori muatan telur dari arah bertentangan di kilometer 69, Jalan Teluk Intan-Klang, petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kemalangan ngeri sekitar jam 1.30 petang itu, empat daripada mangsa maut serta merta di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Mereka yang maut dikenali sebagai Yap Ching, 52, Yap Soon Keong, 16, Ling Siew Mooi, 26 dan Ling Lee Min, 25, manakala seorang mangsa masih belum dikenal pasti identitinya.
"Bagaimanapun pemandu lori bersama dua kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Mushar berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila kenderaan Honda City yang dipandu Yap Ching dari arah Sabak ke Kuala Selangor itu cuba memintas kenderaan di hadapan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
"Berikutan itu, sebuah lori berkapasiti lima tan yang melalui jalan sama tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta berkenaan menyebabkan ia terperosok.
"Dalam kejadian itu, pemandu dan penumpang bahagian hadapan kereta tersepit dan hanya dapat dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat," katanya.
Sementara itu, Mushar menasihatkan, setiap pemandu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan ketika memandu bagi memastikan kejadian sama berulang.
“Aspek keselamatan adalah perkara penting dalan memastikan kadar kemalangan di daerah ini dapat dikurangkan.
"Banyak kejadian kemalangan maut berlaku disebabkan kelalaian dan sikap ambil mudah sesetengah pengguna jalan raya itu sendiri," katanya.
Kejadian berlaku sekelip mata
Sementara itu, pemandu lori, S Kumar, 30, yang masih terkejut dengan kejadian meragut lima nyawa itu berkata, ketika kejadian dia dan dua rakannya dalam perjalanan pulang dari menghantar bekalan telur di Kuala Selangor.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku begitu pantas menyebabkan dia tidak dapat mengelak kereta yang tiba-tiba meluru ke arah lori yang dipandunya.
"Saya cuba mengelak daripada bertembung dengan kereta itu tapi tetapi gagal kerana ia berlaku sekelip mata. Saya turun melihat pemandu dan penumpang namun kesemua mereka sudah tidak bergerak.
"Saya tidak menyangka perlanggaran itu akan menyebabkan kematian. Saya dan rakan bernasib baik kerana selamat dalam kejadian ini," katanya.
Bomba ambil masa 60 minit
Dalam kejadian itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Sekinchan menerima maklumat berhubung kemalangan itu sekitar jam 1.40 petang dan mengambil masa 60 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di bahagian depan kereta.
Pegawai Bomba Kanan 1, Arriffin Pawanteh berkata, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa yang tersepit memandangkan ia terperosok di bawah lori.
"Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba Sekinchan terpaksa dikerahkan bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Dalam operasi itu, kita terpaksa memotong bahagian bumbung kereta bagi memudahkan proses untuk mengeluarkan mangsa tersepit kerana dihimpit enjin dan dashboard kereta yang remuk," katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika proses menyelamat sedang dilakukan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lima-maut-nahas-ngeri-1.83841
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment