loading...

Wednesday, September 5, 2012

Nissan Teana bertembung Viva


 PASIR MAS - Keluarga mangsa kemalangan di Kilometer 7, Lebuh Raya Pasir Mas - Rantau Panjang berhampiran Taman Tengku Anis di sini malam kelmarin, berdepan detik cemas kira-kira setengah jam apabila kanak-kanak yang menaiki Viva, Zuhairi Zairul, 7, tidak ada di tempat kejadian dan hospital.

Berikutan itu, bapa saudara mangsa, Zafian Zainal, 22, bersama-sama rakan dan Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang berada di tempat kejadian mencarinya di kawasan semak sekitar kerana menyangka Zuhairi tercampak dari kereta dinaiki.

Ketika usaha mencari giat dilakukan, Zafian menerima panggilan rakan memberitahu mangsa dihantar pulang ke rumahnya di Rantau Panjang oleh individu yang mengenali keluarganya.

Zafian berkata, dia lega sebaik menerima berita berkenaan kerana kemalangan itu begitu mengejutkan keluarganya yang mulanya menyangka dia terlibat.

Menurutnya dia terus pulang dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

“Dia (Zuhairi) hanya mengalami luka kecil dan masih trauma serta tidak dapat bercerita tentang kejadian.

“Selepas membuat pemeriksaan, dia dibawa pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Pasir Mas (HPM), malam kelmarin.

Zafian berkata, dia diberitahu tentang kejadian menerusi panggilan telefon kakak iparnya yang terperangkap dalam kesesakan jalan akibat kemalangan itu.

Kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan jenis Viva dan Nissan Teana masing-masing dinaiki pemandu dan seorang penumpang.

Nissan Teana remuk pada bahagian hadapan sebelah pemandu sementara Viva remuk.

Pemandu Viva, Zairul Zainal, 34 dan pemandu Nissan Teana seorang wanita yang juga pendidik parah dan dihantar ke HPM untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun kedua-duanya kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim berkata, hasil siasatan awal ,kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Zairul dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang masuk ke laluan setentang.

Menurutnya, kereta ,Nissan Teana dipandu wanita itu pula dari arah bertentangan gagal mengelak.

“Kedua-dua pemandu parah sementara penumpang Nissan Teana seorang lelaki berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu tidak cermat.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.14 malam memaklumkan kejadian.

Menurutnya, mangsa tersepit di tempat duduk kereta berjaya dikeluarkan dalam tempoh 10 minit.

“Sebaik menerima panggilan, saya mengetuai operasi bersama-sama lima anggota ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Paramedik dari Hospital Pasir Mas turut terlibat memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/keluarga-cemas-mangsa-hilang-1.81963


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my