Inalillahi wainailaihi rojiun
TUMPAT - Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala ibunya cedera ringan apabila sebuah kereta terbabas merempuh rumah kedai di Kampung Dalam Rhu di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, kereta jenis Mercedes yang dipandu oleh seorang lelaki terbabas merempuh dinding konkrit rumah kedai sehingga terperosok di dalam rumah di bahagian ruang tamu, hampir meranapkan rumah kedai itu.
Mangsa, Adam Firdaus Syukri, 2 tahun ketika kejadian sedang bermain di ruang tamu di rumah kedai neneknya.
Dia ditemui tersungkur berhampiran tayar kereta terbabit dalam keadaan berlumuran darah di kepala.
Adam Firdaus dikejarkan ke Hospital Tumpat, bagaimanapun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital terbabit setelah mengalami kecederaan parah dalaman.
Ibunya, Nik Salwani Abdullah, 26, yang sedang mengandung enam bulan anak keempat dimasukkan ke dalam wad Hospital Tumpat, masih trauma dengan kejadian tersebut.
Ketika kejadian, Nik Salwani duduk di atas sofa menemani anak sulungnya, Shahrul Yutzee Faizal, 10 dan anak keduanya, Shah Ikhwan Nizar, 5, menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu sambil memerhatikan Adam Firdaus bermain.
Nenek mangsa, Aisyah Seberang, 55, berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Asar di dalam bilik tidur bersebelahan dengan ruang tamu.
Katanya, sebelum itu, kelihatan Adam Firdaus mundar-mandir bermain di hadapannya ketika dia sedang menunaikan solat Asar dan selepas itu hilang entah ke mana.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang amat kuat serta bunyi runtuhan batu, tanpa mengesyaki apa-apa saya keluar bilik menjenguk di bahagian ruang tamu dengan berpakaian kain telekung.
“Tergaman seketika kerana melihat sebuah kereta dengan runtuhan konkrit berada di ruang tamu dan perabot berselerakan,” katanya.
Menurutnya, dia seperti hilang arah kerana amat takut dengan apa yang dilihatnya dan pada masa yang sama pula terlihat cucunya, Adam Firdaus berlumuran darah manakala anaknya, Nik Salwani seperti orang pengsan tersandar di atas sofa.
“Saya menjerit meminta tolong kerana sukar untuk keluar dari rumah ini kerana kereta itu tersekat di tengah pintu.
“Lagi tragis ketika memberi pertolongan pada Adam Firdaus terdengar suara cucu saya ini mengerang kesakitan dan dengan bantuan jiran, dia dibawa ke Hospital Tumpat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut ketika dihubungi semalam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada pemandu kereta Mercedes itu tertidur ketika memandu dan terbabas merempuh rumah kedai itu.
“Ketika itu kereta terbabit dari arah Geting menghala ke Bandar Tumpat,” katanya.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai dan menyebabkan kematian.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kanak-kanak-maut-rumah-dirempuh-mercedes-1.82121
No comments:
Post a Comment