loading...

Wednesday, September 5, 2012

Dua Sahabat Parah Dirempuh Pemabuk


KEPALA BATAS - Hasrat dua sahabat untuk menghabiskan kerja-kerja membaik pulih lampu jalan tergendala apabila dirempuh sebuah van dari arah belakang di Jalan Kepala Batas-Jitra malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Shafiq Adnan, 22, dan rakannya Kamarul Izam Mohd Radzi, 32, cedera parah selepas tercampak sejauh 20 meter daripada tempat membaiki lampu jalan terbabit.


Saksi, Abdul Rahman Mohd Sidek, 21, berkata, kedua mereka sedang meletakkan kon untuk menghalang lalu lintas daripada kenderaan memasuki kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebaik sahaja selesai mengaturnya, mereka memasang lampu di kon sebagai peringatan untuk orang ramai menyedari bahawa kerja membaik pulih sedang dijalankan.

“Secara tiba-tiba sebuah van menuju tepat ke arah mereka sehingga tercampak sebelum melanggar kren yang berada di tepi jalan.

“Saya bergegas membantu mereka yang cedera parah sehingga ambulans tiba,” katanya kepada Sinar Harian.

Saksi lain, Mohd Zuraidi Mohd Noor, 24, berkata, mulanya dia berhasrat untuk membantu kedua mangsa menyelesaikan tugasan berkenaan.

Menurutnya, selang beberapa minit tiba di tempat kejadian, dia hanya memerhati tindakan dan menunggu kedua mangsa menyelesaikan tugasan meletak dan memasang lampu pada kon jalan sebelum melakukan kerja membaiki lampu.

“Kenderaan pada waktu itu tidak banyak dan kebetulan saya berada atas motosikal dalam kawasan ini terpandang sebuah van dengan tiba-tiba merempuh mereka dari belakang.

“Sebelum dirempuh, saya menjerit meminta mereka ke tepi namun jeritan saya tidak didengari kerana bising dengan kenderaan yang lalu lalang dari arah bertentangan ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan, Zailan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan lebih kurang jam 11 malam berkaitan kejadian.

“Van terbabit secara tiba-tiba melanggar kedua mangsa dari arah belakang dan rempuhan kuat pada kren berkenaan menyebabkan pemandu van tersepit.

“Kerja-kerja menyelamat mangsa selama 30 minit disebabkan bahagian hadapan van remuk teruk menyukarkan mangsa untuk keluar,” katanya.

Katanya, pemandu van dipercayai mabuk dan kedua mangsa dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/padah-memandu-ketika-mabuk-1.82009






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my