Inalillahi wainailaihi rojiun
KEDAH - “Saya tidak menyangka nasihat ibu supaya cepatkan berkahwin sebelum ini adalah yang terakhir,” kata Mohd Naim Che Isa, 24, anak sulung kepada Rohana Junus, 43, yang maut dalam kemalangan di Jalan Baru Kupang-Baling kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.
Mohd Naim yang tinggal dan bekerja di Perda, Pulau Pinang itu berkata, ibunya sering menasihatinya sebelum ini terutama melibatkan soal masa hadapannya.
“Ibu suruh cepatkan perkahwinan kerana mahu lihat saya bahagia. Disebabkan itu, ibu sering nasihatkan saya menyimpan wang untuk perkahwinan kelak,” katanya.
Menurutnya, dia terkilan kerana tidak berhari raya bersama ibunya pada tahun ini setelah ibunya pulang ke rumah neneknya di Kulim.
“Kali terakhir jumpa ibu pada awal bulan ini sehinggalah saya mendapat panggilan yang ibu terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Mangsa yang berasal dari Kampung Rambong, Pulai itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli keperluan harian di pekan berhampiran.
Mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta mengakibatkannya terjatuh di tengah jalan.
Keadaan jalan yang gelap mengakibatkan mangsa dilanggar dua kereta berlainan yang melalui jalan berkenaan.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang merupakan ibu tunggal selepas kematian suami sejak tiga tahun lalu meninggalkan tiga anak dan mayat dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rambong, Pulai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nasihat-anak-cepat-kahwin-sebelum-maut-kemalangan-1.82582
No comments:
Post a Comment