loading...

Tuesday, September 4, 2012

Kemalangan lima kenderaan


 SUNGAI TERAP - Kegembiraan sekeluarga yang dalam perjalanan pulang dari Taman Tema Genting Highland berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan  lima kenderaan di KM55.5 Jalan Klang-Teluk Intan, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang pemandu dan anaknya maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandu dari arah Kuala Selangor menuju ke Tanjong Karang cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan melalui garisan pembahagi jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad, pemandu, Gan Han Siong, 28, dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian kanan belakang kereta jenis Proton Satria di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda City melalui jalan itu pada masa sama.

“Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu Han Siong berpusing dan kemudiannya melanggar sebuah motosikal yang ditunggang bekas kakitangan Agrobank, Mohd Amir Sarif, 65, yang ketika itu dalam perjalanan dari Tanjong Karang menghala ke Kuala Selangor," katanya.

Muhd Taib berkata, akibat kejadian itu, mangsa tercampak tidak jauh dari kenderaannya yang terhumban ke dalam parit berhampiran manakala anaknya, Gan Chui Yin, 11, melambung kira-kira tujuh meter ke dalam kebun kelapa sawit dari tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dan anaknya yang beralamat di No 13, Jalan Wawasan 1, Taman Wawasan Tanjong Karang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, Mohd Amir yang beralamat di Blok S, Sawah Sempadan itu turut terkorban dalam nahas terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, isteri dan anak kepada mendiang Han Siong mengalami kecederaan teruk dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala pemandu kereta jenis Honda City dan dua penumpang mengalami kecederaan ringan serta patah bahu kanan.

“Dalam masa sama, sebuah lagi pemandu kereta jenis Perodua Viva yang melihat pelanggaran itu cuba menggelakkan lalu terjunam masuk ke dalam kawasan parit. Pemandu dan seorang penumpang terbabit dilaporkan cedera ringan,” katanya.

Muhd Taib berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing manakala isteri dan anak kepada mendiang Han Siong sehingga semalam dilaporkan sudah sedarkan diri dan stabil di Hospital Sungai Buloh.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kemalangan-lima-kenderaan-1.81627



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my