ALOR GAJAH: “Pilu hati ini apabila hanya mampu melihat mangsa yang tersepit meraung meminta tolong sambil menyebut nama ibu bapanya sebelum tubuhnya terkulai layu,” kata Krishnan, 24, kelindan lori warga Nepal yang menyaksikan kematian rakan senegaranya dalam kemalangan di Hentian Rehat dan Rawat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), dekat sini, awal pagi semalam.
Perjalanan dua sahabat untuk mengambil bekalan ayam di sebuah kilang berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka terbunuh selepas lori ayam dinaiki merempuh sebuah treler di lorong kecemasan jam 5.15 pagi, menyebabkan Kishor, 33, maut akibat parah di kepala dan kaki.
Menurut Krishnan, mereka bersama pemandu berusia 30-an yang dalam perjalanan dari Serkam, Merlimau, singgah menonton perlawanan bola sepak Euro 2012 di Bemban, sebelum bergerak semula jam 3 pagi.
“Setiba di lokasi kejadian, lori kami hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh belakang treler. “Saya tidur di tempat duduk belakang, terdengar jeritan rakan meminta tolong serta memanggil nama ibu bapanya sebelum terdiam.
“Saya tergamam melihat Kishor tersepit dan tidak bergerak sebelum bomba tiba untuk mengeluarkannya,” katanya. Sementara itu, pemandu treler, Jumizan Tukimin, 34, berkata, dia dalam perjalanan dari Krubong ke Pelabuhan Klang, Selangor untuk menghantar kabel dan berhenti seketika untuk memeriksa tayar serta ikatan gulungan kabel.
“Ketika sedang memeriksa tayar, saya terdengar dentuman kuat sebelum treler bergerak dan merempuh belakang sebuah lagi treler lain di depan.
“Saya ke belakang dan terkejut mendapati sebuah lori dinaiki tiga lelaki terlekat pada belakang treler, “ katanya.
Menurutnya, dalam keadaan panik dia melihat seorang lelaki tersepit dan berada dalam keadaan tenat namun pemandu dan seorang kelindan lain berjaya keluar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Meraungsebutnamaayah_ibu/Article/index_html
No comments:
Post a Comment