KUALA KRAI - Dua termasuk seorang kanak-kanak Cina berusia tiga tahun maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini, kelmarin dan semalam.
Pada nahas melibatkan kanak-kanak, Hue Han San, 3, maut selepas Proton Persona dipandu ibunya, Wee Sha Kin, 38, bertembung dengan sebuah Proton Iswara di Kilometer (KM) 64.8, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, kira-kira jam 9 pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika Han San dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu Jong, selepas menemani ibunya menghantar kakaknya berusia lima tahun ke sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Taman Krai, dekat sini.
Nahas berhampiran Perumahan Polis Sungai Durian itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Kota Bharu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki Han San dan ibunya.
Rempuhan kuat
REMPUHAN kuat antara kedua-dua kenderaan menyebabkan Han San yang duduk di bangku sebelah kiri pemandu mati di tempat kejadian manakala ibunya dan lelaki terbabit, cedera ringan.
Mayat Han San dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya, manakala Sha Kin yang cedera di tangan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.
Motosikal dinaiki bertembung
PADA satu lagi kejadian, seorang pemuda berusia 21 tahun, Mohd Azmi Mohamed Roni meninggal dunia di HKK kira-kira jam 5 pagi semalam selepas terlibat kemalangan jalan raya, jam 5 petang kelmarin.
Mohd Azmi berasal dari Kampung Baru Slow Pak Long, dekat Dabong, mati akibat cedera parah selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di KM 54, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kampung Telekong.
Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah, Inspektor Low Jo Han berkata, kedua-dua kes masihdalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Suasana pilu
"SEMENTARA itu, Bilik Mayat HKK yang dipenuhi ahli keluarga dan sanak-saudara Han San, diselubungi suasana pilu ketika mayat kanak-kanak itu dimandikan sebelum dibawa ke Wat Phothivihan di Kampung Jambu, dekat Tumpat, untuk pengebumian.
Bapa mangsa, Hue Seng Li, 46, yang bekerja sebagai pemandu van sayur berkata, kali terakhir dia bertemu Han San ialah sebelum tidur kira-kira
jam 10 malam, kelmarin.
“Dia sempat tidur dengan saya sekejap dan bila kakak dia naik, dia turun dan tidur dengan mak dia,” katanya yang keluar rumah seawal jam 1 pagi untuk mengambil bekalan sayur di Kota Bharu dan menghantarnya ke Gua Musang.
Tidak tahu anak bongsu meninggal dunia
SENG LI berkata, dia tahu tentang kemalangan itu selepas dihubungi isterinya ketika sedang menghantar sayur di pasar pagi dekat Gua Musang tetapi tidak tahu anak bongsunya itu sudah meninggal dunia.
“Bila saya sampai di hospital dan tengok sendiri keadaan Han San, baru saya tahu dia sudah meninggal dunia,” katanya yang ada lima lagi anak berusia antara lima dan 19 tahun.
Sepupu Sha Kin, juga ahli jawatan kuasa Wanita MCA Kuala Krai, Suzie Chua pula berkata, dia tidak menyangka kejadian kenderaan pacuan empat rodanya tidak dapat dihidupkan awal pagi semalam menjadi petanda awal perkara buruk akan berlaku.
“Bila saya suruh baiki, suami kata tak payah sebab kami kena pergi hospital segera tetapi dia tidak beritahu sebab apa,” katanya yang hanya tahu tentang kematian anak sepupunya itu ketika dalam perjalanan ke hospital.
Teng Hai ucap takziah, beri bantuan kewangan
DALAM pada itu, Pemangku Ketua MCA Kuala Krai, Hong Teng Hai hadir menziarahi jenazah di hospital dan menyampaikan bantuan kewangan segera kepada keluarga mangsa untuk kos pengurusan jenazah.
“Satu sumbangan daripada BN Kuala Krai dan satu lagi, sumbangan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru Jong. “Mewakili BN, terutama MCA, saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan amat bersimpati serta sedih dengan nasib yang menimpa mereka,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/2-termasuk-kanak-kanak-maut-nahas-kereta-1.58982
No comments:
Post a Comment