Inalillahi wainailaihi rojiun
ALOR GAJAH – "Saya tiada cara lain, kecuali bawa ayah ke klinik kesihatan menggunakan jalan berselekoh tajam," kata Mohd Asrul Zaidi, 24. Mohd Asrul berkata demikian ketika menceritakan detik cemas dia bergegas menghantar bapanya, Zaidi Abdullah, 50, ke klinik kerana diserang sesak nafas, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, klinik swasta berdekatan tutup menyebabkan dia terpaksa membawa bapanya dari rumahnya di Kampung Solok Duku ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini yang terletak kira-kira lima kilometer serta terpaksa menempuh selekoh tajam.
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka, apabila kereta dipandu Mohd Asrul terbabas di selekoh berkenaan akibat jalan licin selepas hujan, menyebabkan bapanya meninggal dunia di dalam kereta sebelum sempat sampai ke klinik.
Dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi itu, Mohd Asrul membawa bapanya menaiki kereta jenis Proton Saga Aeroback ditemani ibunya, Khadijah Seman, 48.
“Ayah terjaga dari tidur kira-kira 5 pagi kerana sesak nafas.
Saya terpaksa papah dia masuk ke dalam kereta kerana keadaan ayah terlalu lemah.
"Mulanya, saya bawa dia ke klinik swasta, namun klinik itu tutup menyebabkan saya dan ibu ambil keputusan menuju ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah melalui jalan berselekoh tajam,” katanya.
Menurutnya, disebabkan keadaan jalan yang licin, dia gagal mengawal kenderaan sebaik melalui selekoh sebelum terbabas ke tepi jalan dan melanggar sebuah busut.
“Saya lihat ayah sudah tidak bergerak lagi. Saya terus turun dari kereta menuju ke tengah jalan untuk mendapatkan bantuan orang awam.
"Ibu pula keluar memanggil penduduk di taman berdekatan.
Masa itu, kami tidak pasti sama ada ayah masih hidup atau tidak," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Sementara itu, nasib anak beranak itu disedari seorang pengawal keselamatan, Rapie Mohamad, 53, yang kebetulan melalui jalan berkenaan untuk bertugas.
Menurut Rapie, dia terlihat kelibat seorang lelaki berdiri di tengah jalan sambil melambai tangan menahan motosikal dinaikinya.
“Disebabkan suasana masih gelap, saya tidak sedar ada kereta sudah terbabas menyebabkan saya terus menunggang motosikal tanpa menghiraukannya.
"Tapi, saya berpatah semula ke tempat berkenaan sebelum mendapati orang awam sudah berkerumun berdekatan kereta dinaiki mangsa," katanya.
Ketika itu, katanya, dia mendapati mangsa sudah tidak sedar diri dan tersandar di tempat duduk belakang, sebelum ambulans tiba beberapa minit kemudian selepas dihubungi orang awam.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, polis sedang menjalankan siasatan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga, semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ujong Repet, Bachok, Kelantan," katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-selamatkan-ayah-1.51815
No comments:
Post a Comment