loading...

Monday, May 28, 2012

6 Sekeluarga Nyaris Maut



ALOR GAJAH - Enam sekeluarga nyaris maut selepas kereta Toyota Unser yang dinaiki dirempuh sebuah Perodua Alza dari arah belakang dan terbalik di Kilometer 202 Lebuhraya Plus menghala ke selatan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Toyota  Unser dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bersama lima lagi saudaranya dalam perjalanan ke Melaka dirempuh Perodua Alza yang memasuki laluan tengah.

Salah seorang penumpang Toyota Unser berusia 29 tahun berkata, sebaik melalui jalan itu, kereta yang dinaiki secara tiba-tiba dirempuh dari arah  belakang hingga terseret dan berpusing sebelum terbalik.

Menurutnya, rempuhan yang berlaku menyebabkan kereta terbalik.

"Kami terpaksa keluar melalui tingkap kereta yang dipecahkan selepas pintu kereta gagal berfungsi dan dibawa ke tepi lebuh raya oleh orang awam sebelum ambulans tiba.

"Mujur kami hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Sementara itu, pemandu Perodua Alza, Ho Meng Wee, 26, berkata, dia yang memandu di laluan paling kanan hendak menukar laluan kedua selepas menyedari terdapat sebuah kenderaan lain di belakangnya yang dipandu laju.

"Bimbang melihat kenderaan di belakang saya  dipandu laju, saya mengubah laluan ke tengah namun tidak menyedari kehadiran kereta yang dinaiki enam sekeluarga itu.

"Dalam keadaan luar kawalan, saya terpaksa merempuh belakang Toyota Unser berkenaan sebelum kereta saya terbabas ke bahu jalan dan terbalik," katanya.

Meng Wee dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ayer Keroh, Melaka untuk bertemu isterinya walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

"Saya dibantu oleh orang awam yang mengeluarkan saya dari pintu belakang selepas pintu sebelah pemandu gagal dibuka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian membabitkan dua kenderaan namun mangsa masih belum membuat sebarang laporan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/6-sekeluarga-nyaris-maut-1.51580

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my