loading...
Friday, October 28, 2011
Kanak 3Tahun Maut Tercampak Dari Raga Motosikal
Inalillahi wainailaihi rojiun
KEPALA BATAS: Hati seorang bapa hancur apabila melihat anak kesayangannya maut di depan mata selepas tercampak dirempuh sebuah kereta di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini, semalam.
Mangsa, Nor Afina Khalida Mohd Zamri, 3, maut akibat parah di kepala selepas tercampak daripada raga motosikal bapanya ketika menunggu dua kakaknya keluar dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Bapa mangsa, Mohd Zamri Hashim, 37, seorang nelayan berkata, dia duduk atas motosikal di kiri jalan, manakala anak bongsunya itu duduk di dalam raga motosikal itu sambil menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9.
Menurutnya, sebaik sesi persekolahan tamat, anaknya Nor Alia muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys.
“Sebaik Nor Alia duduk, sebuah kereta muncul dari arah belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal.
Sumber: myMetro
Yang Merempuh adalah Seorang Guru.
KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.
Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.
Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.
Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.
"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.
"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam.
Sumber: Kosmo
Nor Afina Khalida Diseret Nissan Sunny
KEPALA BATAS: Hancur hati seorang bapa melihat anak kesayangan maut depan mata selepas diseret sebuah kereta yang sebelum itu merempuh motosikal mereka dalam kejadian di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini jam 12.10 tengah hari semalam.
Sebelum kejadian, Mohd Zamri Hashim dan anaknya, Nor Afina Khalida, 3, sedang duduk di atas motosikal di sebelah kiri jalan sementara menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9, keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu.
Mohd Zamri berkata, sebaik sesi persekolahan tamat, Nor Alia Farhana muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys Najwa, tetapi kemudian sebuah kereta tiba-tiba muncul dari belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal menyebabkan mangsa duduk di depan tercampak, diikuti kedua-dua kakaknya.
Sebaik terjatuh, Nor Afina Khalida dikatakan diseret kereta Nissan Sunny dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu menyebabkannya cedera teruk di kepala dan maut di tempat kejadian, manakala dua kakaknya cedera di muka.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Prai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Md Noor, berkata pemandu kereta itu ditahan untuk soal siasat mengikut Seksyen 41 1(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.
Nor Afina Khalida sering ikut saya ambil mereka di sekolah. Sebelum kejadian ini, selalunya arwah tidak minta nasi, tapi pagi tadi (semalam) dia beria-ia hendak makan nasi, kata nelayan itu yang hanya cedera ringan.
Sumber: Berita Harian
Al-Fatihah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment