Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN: Dua beranak maut selepas kereta Proton Iswara dinaiki dirempuh bas ekspres di Kilometer 145, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di Batu 5, dekat Temerloh, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.40 petang, mangsa yang juga pemandu kenderaan, Mohd Khairi Abdullah Jis, 31, dari bandar ini bersama anak perempuannya, Nurul Najwa Hannani, 6, disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Isteri Mohd Khairi, Suryati Sudin, 31, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Muhammad Airel Zikry, 4, cedera dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan sempena cuti umum Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit yang membawa 15 penumpang dalam perjalanan dari Mentakab menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan di lokasi itu.
“Bas ekspres terbabit kemudian bertembung dengan kereta itu menyebabkan Mohd Khairi yang juga pekerja sebuah kilang di Bentong dan anak perempuannya yang duduk di belakang tersepit di tempat duduk mereka,” katanya, semalam.
Md Nor berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh kemudian ke lokasi kejadian sebelum mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.
Beliau berkata, pemandu bas terbabit berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang dipindahkan ke bas lain sebelum meneruskan perjalanan.
“Kita sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit selain turut melakukan ujian air kencing terhadapnya.
“Bas ekspres terbabit juga sudah dihantar ke Pusat Servis Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Al-Fatihah..
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment