loading...
Friday, October 28, 2011
Tak Sempat Bercuti di Cameron Highlands
FELDA SUNGAI KOYAN - Hasrat sebuah keluarga India untuk bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti sambutan perayaan Deepavali berakhir tragedi apabila dua daripada 28 ahli keluarga itu maut dalam satu kemalangan jalan raya, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian yang meragut nyawa M Sivagnanam, 29, dan SV Genesin, 51, itu berlaku di Kilometer 55 Jalan Sungai Koyan-Raub, kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.
Menurutnya, kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota keluarga yang lain menaiki sebuah kereta jenis Toyota Alphard dipandu anak Genesin, SV Murugan.
“Kereta berkenaan bersama dua kereta lain dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor menuju ke Cameron Highlands untuk bercuti sempena perayaan Deepavali.
“Sampai di tempat kejadian, kereta dipandu Murugan hilang kawalan sebelum terhumban ke kawasan ladang tanaman semula kelapa sawit lalu terbalik,” katanya, di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Koyan akibat kecederaan parah di kepala dan luka dalaman.
“Empat mangsa yang menaiki kereta itu turut mengalami kecederaan parah, manakala tiga lagi hanya cedera ringan. Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.:
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Johnny James Bujang di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, anak saudara Genesin, M Letchumi, 34, berkata, sebelum kejadian, mereka sempat berkunjung ke rumah saudara di Raub.
“Setelah selesai makan malam di rumah saudara kami itu, bapa saudara meminta anaknya (Murugan) memandu kenderaan kerana dia penat dan mengantuk.
“Kereta saya naiki bersama sebuah lagi kereta berada di hadapan, manakala kereta dinaiki mendiang berada paling belakang,” katanya.
Letchumi berkata, ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Koyan, mereka mendapati kereta Alphard yang dinaiki sembilan ahli keluarganya itu tidak kelihatan.
“Saya cuba mendail nombor telefon seorang daripada ahli keluarga dalam kereta itu dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut” katanya.
“Kami kemudian berpatah semula ke tempat kejadian dan cuba menyelamatkan mangsa yang parah dengan menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan. Namun, bapa saudara dan seorang lagi saudara kami disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
myMetro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment