Al-Fatihah....
PELABUHAN KLANG – “Pakcik sering nasihatkan arwah mencari pekerjaan lain yang lebih menjamin masa depan demi kebaikan dan keselamatannya.
Pakcik kesal apabila dia meninggal dalam keadaan ngeri,” demikian luah Wan Ahmad Wan Bakar, 60, bapa kepada mangsa, Wan Shakir, 28, yang maut selepas kepalanya terputus akibat tersepit antara kontena dan kepala lori di kawasan sebuah kilang minyak masak, di Jalan Sungai Keladi, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai Kerani Operasi dikatakan dalam perjalanan menuju ke kontena untuk urusan pemeriksaan kontena dan sebelum sempat melaksanakan tugasan itu, mangsa terlebih dahulu dilanggar kepala lori yang sedang berundur.
Pemandu lori tersebut dikatakan tidak perasan dengan kehadiran mangsa sebelum terus mengundurkan kepala lori bagi disambungkan dengan pengunci kontena.
Sebaik kepala lori hampir bercantum dengan pengunci kontena, mangsa berada di tengah-tengah tersepit sebelum lehernya terkena bucu tajam. Berikutan itu, leher mangsa terus bercerai daripada badannya beberapa meter antara satu sama lain di bawah kontena dan kepala lori tersebut.
Wan Ahmad berkata, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian yang meragut nyawa anak sulung daripada tiga beradik itu.
“Walau apa pun, kami harus menerima pemergian arwah kerana takdir telah tentukan yang dia terpaksa menghadap Ilahi pada usia yang masih muda.
“Arwah disifatkan anak yang baik dan rajin bekerja sepanjang berkhidmat di kilang tersebut sejak empat tahun lalu,” katanya yang tinggal di Lorong Azmi, Teluk Gadung Besar, Klang kepada Sinar Harian di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Dalam pada itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat bagi urusan bedah siasat.
“Setakat ini kita sudah memanggil saksi dan pemandu kepala lori itu bagi siasatan lanjut berkenaan kejadian ngeri ini.
“Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua pekerja di kawasan kontena agar berhati-hati kerana pelbagai kejadian yang tidak diduga seperti ini boleh berulang jika keselamatan diabaikan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Astaghfirullahalazim... Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang2 beriman. Ameen... Sedih bc berita ni...
ReplyDelete