loading...

Friday, July 8, 2011

3 Maut 1 Parah di Gemencheh

 Al-Fatihah


TAMPIN – Tiga maut dan seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan ngeri di dua lokasi kemalangan berbeza di Gemencheh, dekat sini, tidak sampai 30 minit daripada kejadian kemalangan pertama, malam kelmarin.

Kemalangan pertama membabitkan Bilal Masjid Assyakirrin, Harun Sahor, 73, jam 9 malam di Kilometer 25, Jalan Gemas-Tampin yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Gemencheh selepas selesai menunaikan solat Isyak berjemaah.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Wish.

“Mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.



“Kejadian kedua pula berlaku kira-kira jam 9.15 malam di persimpangan Pekan Gemencheh menghala ke Felda Bukit Rokan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian motosikal ditunggangi seorang remaja, Muhamad Hanis Mohd Ali, 18, dalam perjalanan pulang dari rumah neneknya di Kampong Air Rawa ke rumahnya di Kampung Seri Asahan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan motosikal lain yang ditunggangi dan dibonceng lelaki Indonesia yang cuba membelok ke sebelah kanan menuju ke Felda Bukit Rokan.

“Muhamad Hanis parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Sudirman disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tampin,” katanya.

Difahamkan, rakan Sudirman yang parah di kepala dan muka, dikenali sebagai Abdul Sukur, 32, dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, anak angkat Allahyarham Harun, Izdihar Suhin, 27, berkata, arwah ingin melihatnya berkahwin kerana dia sahaja masih bujang daripada empat adik-beradik angkat yang lain.

“Memang sudah lama arwah ayah menggesa saya berkahwin dan ingin melihat lelaki pilihan saya, namun saya menolak dengan baik kerana menunggu hari lahir saya pada 12 September ini.

"Walaupun saya hanya anak angkat tetapi saya amat rapat dengan arwah ayah kerana telah diasuh dan dijaga sejak berusia 40 hari lagi,” katanya.

Bapa Muhamad Hanif, Mohd Ali Ismail, 52, pula berkata, anak keempat daripada lima adik-beradik itu sudah tiga tahun mengidap kanser tulang dan menjalani beberapa siri rawatan termasuk kimoterapi.

“Sepatutnya hari ini (semalam) saya menemaninya ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan susulan selepas kimoterapi. Tidak sangka dia pergi begitu cepat” katanya.

Jenazah Allahyarham Harun dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gemencheh, sementara Allahyarham Muhamad Hanis dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Asahan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9270915.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my