loading...

Friday, July 8, 2011

Pelajar Vokasional Telok Air Tawar digilis Lori


JUNJUNG - Keseronokan dua pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Vokasional Telok Air Tawar di Butterworth yang dalam perjalanan ke Taman Rekreasi Air Terjun Junjung bertukar menjadi tragedi apabila terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Junjung kira-kira 400 meter dari Kem Pasukan Gerakan Am, tengah hari semalam.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mereka menunggang motosikal Yamaha LC 135 dan ketika tiba di selekoh, penunggangnya gagal mengawal motosikal lalu masuk ke arah bertentangan sebelum merempuh bahagian belakang tayar sebuah lori treler.

Kedua-duanya terseret dan terhumban ke belakang lori sebelum dirempuh sebuah lori lain dari arah belakang.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian badan dan patah kaki kanan manakala pemboncengnya maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa yang cedera parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) manakala rakannya dihantar ke rumah mayat untuk bedah siasat.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dikenali Muhamad Zaidi Mohd Zabel, 17, dari Taman Seri Serdang, Kepala Batas.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan untuk berkelah di Air Terjun Junjung kerana sekolah di Pulau Pinang ditutup untuk cuti am.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa datang dari arah Kulim menuju ke Junjung manakala dua lori pula dari arah bertentangan.

“Motosikal mereka terbabas dan masuk ke arah bertentangan. Mangsa yang merupakan pembonceng maut apabila kepalanya digilis oleh tayar belakang lori manakala penunggangnya cedera parah. Sehingga kini, polis masih menyiasat punca kemalangan itu,” katanya.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my