loading...

Sunday, July 24, 2011

Digilis Kereta Ketika Melintas Jalan


Al-Fatihah...

ALOR GAJAH - Niatnya mahu mengisi diesel pada lorinya yang sudah kehabisan minyak. Bagaimanapun, tindakannya melintas lebuh raya yang sesak dengan kenderaan selepas membeli diesel akhirnya mengundang padah.

Itulah nasib menimpa seorang pemandu lori apabila maut digilis sebuah kereta semasa cuba menyeberang jalan di kilometer 207 Lebuh Raya Utara - Selatan, berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Abd Aziz Ramli, 46, berbuat demikian selepas membeli diesel di stesen minyak berdekatan berikutan lori dinaiki bersama anak saudaranya kehabisan minyak di lebuh raya.

Mangsa dikatakan meninggalkan lori bersama anak saudaranya di bahu jalan sebelum bertindak menumpang kereta orang awam untuk membeli diesel di stesen minyak terletak di seberang lebuh raya, kira-kira tiga kilometer dari lorinya.


Dalam kejadian kira-kira 8 malam, mangsa bagaimanapun tidak bernasib baik apabila cubaan menyeberang jalan selepas berjaya membeli diesel di laluan seberang gagal selepas dirempuh sebuah kenderaan mewah bernombor pendaftaran negara jiran ketika berada lorong kanan lebuh raya.

Menurut anak saudara mangsa, Muhammad Amirul Ridzuan, 17, masalah timbul kira-kira 5.30 petang apabila lori mereka kehabisan minyak.

“Saya membawa sebuah botol kecil pergi membeli minyak yang terletak di arah bertentangan kira-kira tiga kilometer di hadapan menaiki kenderaan PLUS.

“Bagaimanapun. minyak masih tidak cukup menyebabkan arwah bertindak pergi sekali lagi ke stesen berkenaan dengan menumpang kereta orang awam,” katanya.

Menurutnya, cubaan mangsa untuk menyeberang lebuh raya sebaik saja berjaya membeli diesel di stesen minyak yang terletak di laluan seberang gagal selepas sebuah kereta jenis Mercedes Benz merempuhnya semasa belum sempat melangkah pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, badan mangsa terputus dua sebelum tercampak ke laluan bertentangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Muhammad Amirul berkata, dia bersama bapa saudaranya itu dalam perjalanan dari Subang, Selangor ke bandar Melaka untuk mengambil stok telur masin untuk diedarkan ke seluruh negara mengikut tempahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika mengesahkan kejadian berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.

“Kaki dan tubuh mangsa terputus dua selepas tercampak akibat dilanggar kereta dipandu seorang lelaki yang menghala ke Kuala Lumpur.

“Pemandu kereta berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun keretanya yang remuk di bahagian kanan akibat merempuh mangsa itu dibawa ke Balai Polis Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sumber: Kosmo
             Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my