loading...
Sunday, July 24, 2011
Eksekutif Pemasaran KOSMO Maut
Al-Fatihah..
HULU SELANGOR 23 Julai - Seorang eksekutif pemasaran wanita di Utusan Media Sales Sdn. Bhd. (Umes) maut selepas tercampak ke dalam gaung sedalam 10 meter apabila kereta Proton Inspira yang dinaikinya terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh besi penghadang jalan.
Nahas ngeri itu berlaku di Kilometer 401.8, Lebuh Raya Utara-Selatan selepas susur Hulu Bernam di sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam tadi.
Sejurus selepas kejadian itu, sepasukan polis bersama anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tanjung Malim bergegas ke tempat kejadian namun gagal menemui mangsa.
Selepas tiga jam operasi mencari dijalankan, mayat Shakeera Hani Aznan, 26, yang baru empat bulan bekerja di Bahagian Pemasaran akhbar Kosmo! ditemui di dalam semak gaung kira-kira 10 meter dari lokasi kemalangan pada pukul 4 pagi.
Rakan sekerjanya yang memandu kereta tersebut, Abd. Salimi Abd. Halim, 31, hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi Yahya berkata, ketika kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Pulau Langkawi menghala ke ibu negara.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kenderaan itu pecah menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi lebuh raya.
"Kenderaan itu kemudian berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya menyebabkan mangsa yang duduk di sebelah pemandu tercampak dan jatuh ke dalam gaung," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Awan Larut, Taman Yarl di Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 3 petang.
Kata beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, abang mangsa, Alaric Aznan berkata, dia dan keluarganya terkejut dan sedih sebaik sahaja dimaklumkan berita yang menimpa adiknya.
"Kami sekeluarga reda di atas pemergiannya," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Iklan akhbar Kosmo!, Stella Abdullah berkata, Allahyarham Shakeera Hani yang baru bekerja empat bulan di Umes sempat ditemui sebelum bercuti untuk ke majlis perkahwinan rakannya di Langkawi.
"Walaupun baru bekerja di syarikat ini, dia seorang yang berdedikasi di dalam menjalankan tugasnya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment