loading...

Tuesday, June 28, 2011

Aznil Masih Koma


KOTA BHARU 27 Jun - "Saya hanya ingat mati ketika nampak kereta dari depan terbabas dan berpusing-pusing sebelum dirempuh lori yang saya pandu," ujar pemandu lori ais, Zabri Hussein, 29.

Dia yang patah paha dan lutut kanan dalam nahas itu, mengakui trauma mengingati detik-detik tragis kenderaan dipandunya bertembung dengan kereta Proton Iswara di Kilometer 15, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas kelmarin, menyebabkan tiga pelajar Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) kampus Bachok terbunuh.

Akibat kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bahagian hadapan lorinya remuk dan dia tersepit pada bahagian stereng sebelum dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan.

Mengimbau kembali nahas itu, Zabri yang sudah berumah tangga berkata, akibat kemalangan cermin hadapan lorinya pecah dan dia nampak kelindannya, Azri Mat Nawi, 24, tercampak keluar tetapi hanya cedera ringan.

Menurutnya, ketika kejadian dia yang bekerja dengan sebuah syarikat membekalkan air batu, dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah selepas menghantar bekalan di Kubang Kerian dekat sini.

Jelasnya, sejurus sampai di Salor iaitu kawasan kemalangan, dia nampak kenderaan dinaiki penuntut terbabit memotong empat kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan berpusing-pusing beberapa kali lalu bertembung dengan lori yang dipandunya.

"Sejurus selepas kemalangan, suasana hening dan sepi, tidak kedengaran apa-apa daripada kereta tersebut," katanya.

Dalam kemalangan itu, tiga pelajar KIST, Shaiful Jawahir Razali, Mohammad Aliff Mohd. Suhaimi dan Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md. Saud kesemuanya berusia 19 tahun, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Aznil Afnan Ariffin, 19, dari Pengkalan Chepa, parah dan masih belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi Hospital Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurut ibu Muhammad Aznil, Samsiah Che Ismail, 41, anak sulung daripada tiga beradik itu, masih koma akibat cedera teruk di kepala dan muka.

Samsiah berkata, sebaik sahaja suaminya, Ariffin Abdullah, 46, wadar penjara di Pengkalan Chepa mendapat berita tersebut, mereka bergegas ke HUSM.

"Walaupun luluh hati saya melihat keadaannya yang parah namun tetap bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur sedangkan tiga lagi rakannya meninggal dunia.

"Saya harap dia sedar dari koma, sihat dan boleh menyambung pelajarannya semula di KIST," katanya yang turut menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk Pengurus Hal Ehwal Pelajar KIST kampus Bachok, Mohd. Sapuan Awang.


Sumber dari Sinar Harian pula, Menurut  Pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kampus KIST, Mohd Sapuan Awang berkata, pengurusan KIST kini bersama Majlis Perwakilan Kolej kini mewujudkan Tabung Bencana di kalangan warga kolej termasuk pelajar dan kakitangan.

“Semua pelajar dilindungi insurans kematian dan kemalangan (Uniasia) dan agensi berkenaan akan membuat keputusan berhubung kes berkenaan nanti.

“KIST setakat ini memberikan bantuan segera RM500 untuk setiap keluarga dan RM1,000 lagi bagi pengurusan jenazah setiap daripada mereka yang meninggal dunia dan untuk mangsa ini (Aznil), pihak kami akan memberi bantuan berkenaan,” katanya.

Malam Sabtu lalu, tiga penuntut KIST meninggal dunia dalam kemalangan selepas menghantar rakan mereka, Safuan setelah pelajar itu (Safuan) menerima panggilan bapanya sakit tenat di Kampung Galak, Chetok, Pasir Mas.

Sumber: Utusan Malaysia
              Sinar Harian


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my